Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengambil bahagian dalam prosiding yang membabitkan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di Ukraine lapan tahun lalu melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menurut Kementerian Pengangkutan, penyertaan negara dalam prosiding tersebut seiring dengan Konvensyen Chicago.

Tambahnya, proses undang-undang yang menyeluruh mesti diteruskan dalam usaha mengheret pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan demi membela mangsa nahas MH17 dan keluarga mereka.

“Malaysia menggesa semua negara dan pihak yang terlibat memberi kerjasama sepenuhnya terhadap perbicaraan ini selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Isnin lalu, Australia dan Belanda memulakan proses undang-undang terhadap Persekutuan Rusia di ICAO kerana menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

Dalam kejadian 17 Julai 2014 itu, pesawat Boeing, B777 milik MAS yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 penumpang, termasuk anak kapal, ditembak jatuh sistem peluru berpandu buatan Rusia di Donetsk, timur Ukraine.

Menurut kenyataan itu, kerajaan yang Malaysia mengambil maklum bahawa Kerajaan Australia dan Belanda telah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia yang difailkan menerusi ICAO di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Katanya, kerajaan Malaysia komited dalam menuntut keadilan buat keluarga mangsa nahas MH17 dan mengheret pihak yang bertanggungjawab berhubung tragedi itu melalui proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa.

“Malaysia komited untuk memastikan proses perundangan berjalan dengan telus, boleh dipercayai dan konklusif,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, pendekatan Malaysia bahawa segala kesimpulan mestilah dibuat berdasarkan bukti kukuh. – MalaysiaGazette