Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,743 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 743 kes (42.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 1,000 kes (57.4 peratus) kategori 1 dan 2.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 214 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan, sebanyak 56 kes (26.17%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 101 kes (47.20%) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 57 kes (26.64%) telah menerima dos penggalak.

Sebanyak119 kes (55.61%) lagi berumur 60 tahun dan ke atas, 82 kes (38.32%) mempunyai komorbid dan dua kes (0.93%) ibu mengandung.

Menurutnya, sehingga lewat malam tadi, negara merekodkan enam kluster baharu menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 346.

Setakat tempoh itu, sebanyak lapan negeri merekodkan penggunaan lebih 50 peratus katil unit rawatan rapi (ICU).

Negeri-negeri itu ialah Putrajaya (100%), Kuala Lumpur (69%), Kelantan (65%), Perlis (64%), Selangor (59%), Johor (62%), Melaka (53%), dan Sarawak (51%).

Manakala 12 negeri menyaksikan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu Selangor (95%), Kuala Lumpur (89%), Putrajaya (84%), Melaka (82%), Terengganu (82%), Perak (81%), Perlis (78%), Sarawak (71%), Kelantan (65%), Johor (56%), Pahang (53%) dan Pulau Pinang (50%). – MalaysiaGazette