Tan Sri Datuk Ser Dr. Abi Musa Asaari Mohamed Nor (lima kanan) dan Tan Sri Dato Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman bersama penerima anugerah kecemerlangan di Dewan Jubli Perak hari ini

KUANTAN – Graduan yang berkompetensi tinggi dan perlu menguasai pelbagai aspek akan mempunyai kelebihan bagi mendapat tempat dalam dunia pekerjaan.

Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dr. Abi Musa Asaari Mohamed Nor berkata, graduan perlu menguasai pelbagai bahasa, berkeyakinan diri, dapat berkomunikasi dengan baik dan berkeupayaan mengendalikan peralatan berteknologi tinggi.

“Merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan sejumlah 190,436 peluang pekerjaan pada Disember 2021, 69 peratus daripadanya adalah berasaskan TVET dan 19 peratus lagi dalam sektor pembuatan.

“Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan tiga inisiatif Jamin Kerja iaitu Insentif Penggajian Jamin Kerja, Malaysia Short term Employment Program (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi mencerdaskan semula ekonomi negara untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Konvokesyen UMP Ke-15, di sini, hari ini.

Menurut beliau, realiti ekonomi semasa serta keperluan tenaga kerja ketika ini amat mencabar kepada mereka yang bergelar graduan.

“Malahan saya sedar para graduan semua pastinya sangat teruja sekiranya dilantik sebagai profesional muda setelah menamatkan pengajian, namun untuk menempatkan diri dan menempa nama di alam kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

Katanya, para graduan perlu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan berpaksikan sinergi ilmu, kemahiran teknikal, insaniah dan sahsiah yang murni sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara

“Keupayaan dan kompetensi sebenar graduan akan diuji dan dinilai dalam realiti pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast