Suspek (tengah) dibawa ke IPD Kerian, Perak bersama rokok seludup serta mercun dalam milikannya untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN – Polis Marin menahan seorang peniaga kedai runcit sebelum merampas  rokok tidak bercukai dan mercun dengan nilai keseluruhan RM151,345 menerusi Ops Kontraban di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau, Perak.

Serbuan selama sejam berakhir pukul 7 malam pada Rabu lalu itu membawa kepada penemuan  102,100 batang rokok tidak bercukai dan 180 kotak mercun pelbagai jenis yang disorok di dua buah rumah.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah rumah yang kemudiannya membawa penemuan 77,450 batang rokok tidak bercukai.

Shamsol.

“Berpandukan maklumat daripada suspek, kami menyerbu sebuah lagi rumah yang terletak di kampung yang sama  sebelum menemui 24,650 batang rokok tidak bercukai serta 180 kotak mercun pelbagai jenis.

“Hasil siasatan mendapati suspek warga tempatan itu berperanan sebagai pengedar rokok tanpa cukai dan mercun di kedai runcit berhampiran sejak enam bulan lalu.

“Kesemua rokok yang dirampas bernilai RM145,479 manakala 180 kotak mercun itu pula bernilai RM5,866 dan ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM151,345.

“Susoek tidak mempunyai sebarang rekod lampau itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shamsol, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – MalaysiaGazette