Bagi meneruskan kesinambungan lagu Putus, Nabila hari ini melancarkan novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada.

KUALA LUMPUR – Selepas lima bulan melancarkan single Putus, penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa syukur apabila lagu terbaharunya itu menerima respons positif peminat dan sering dimainkan di corong radio.

Apa yang menarik Putus merupakan lagu pertama sentuhan Nabila sendiri bersama komposer Singapura Erwin Purnama dan kini telah mencapai jumlah empat juta tontonan di laman Youtube.

Lagu itu juga merupakan lagu kedua terbitan Nabila Razali Entertainment dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Bagi meneruskan kesinambungan lagu Putus, Nabila melancarkan novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada yang ditulis oleh novelis popular Sophilea.

Novelis tu mempunyai peminat sendiri dalam kalangan pembaca novel dan popular dengan beberapa karya antaranya Anugerah Terindah, Kerana Kau Aku Kembali dan banyak lagi selain pernah dinobatkan sebagai Penulis Prolifik.

Bercakap tentang idea bagi menghasilkan novel ini, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Binti Mohd Razali, 29,  menyedari jalan cerita lagu Putus menarik untuk dikembangkan kepada sebuah naskhah novel.

“Bagi saya lagu Putus mempunyai jalan cerita yang menarik iaitu tentang seorang gadis yang nekad untuk mengakhiri hubungannya dengan kekasih yang tetap melukainya walaupun telah diberikan peluang kedua.

“Banyak lagi yang saya ingin ceritakan dalam lagu namun ianya terbatas. Jadi saya ambil peluang itu untuk mengembangkan lagi menjadi novel.

“Alhamdulillah saya bersyukur dapat bekerjasama dengan novelis terkenal Sophilea yang menunaikan impian saya untuk menjadikan ia sebagai satu karya hebat,” ujarnya.

Novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada ditulis oleh novelis popular Sophilea (kanan).

Selain novel, Nabila juga merancang untuk mengadaptasikan karya tersebut kepada sebuah drama selepas ini.

Novel Kerana Cinta Itu Ada diedarkan oleh Mask Team dan boleh didapati secara dalam talian bermula 14 Mac dengan harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia manakala RM38 di Sabah dan Sarawak.

Novell berkenaan juga bakal berada di kedai buku seluruh Malaysia dalam masa terdekat.

Kerana Cinta Itu Ada mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nabila Aulia, graduan lulusan pengurusan perniagaan yang kini mengusahakan resort keluarganya.

Ketika bekerja di situ, Nabila Aulia atau lebih mesra dipanggil Bella telah bertemu dengan Tengku Aisy Mateen, yang merupakan anak pemilik hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Selepas beberapa pertemuan romantis yang tidak dijangka membuatkan mereka berdua jatuh cinta.

Pada Bella, Aisy merupakan lelaki paling hebat yang pernah hadir dalam hidupnya. Manakala bagi Aisy, Nabila bukan hanya seorang gadis biasa tapi ‘bidadari’ kiriman dari syurga dan Villa Paksina menjadi saksi kisah cinta mereka.

Namun hubungan percintaan ini putus di tengah jalan dek kerana fitnah oleh kawan baik Bella sendiri, Dahlia Rizal yang semenjak dahulu sentiasa menyimpan rasa cemburu dan sakit hati pada kawan baiknya.

Bella membawa diri bertahun-tahun lamanya dan Aisy tetap setia menanti. Hatinya yang terluka buatkan Bella membenci Tengku Aisy tanpa tahu antara dia dan Aisy masih terikat dalam hubungan suami isteri.

Dapatkah hubungan cinta mereka kembali terjalin atau terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan? Jawapannya ada dalam novel Kerana Cinta Itu Ada yang boleh ditempah di https://keranacintaituada.onpay.my/ . – MalaysiaGazette

Lagu Putus nyanyian Nabila Razali telah mencapai jumlah empat juta tontonan di laman Youtube.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast