Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap pada media selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pengumuman-pengumuman baharu yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini membuktikan UMNO bukan hanya parti yang mengutamakan kuasa politik semata-mata.

Sebaliknya Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa UMNO merupakan parti yang  memperjuangkan nasib rakyat.

“Dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri, menunjukkan bahawa perkara-perkara yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO selama ini seperti i-Citra mendapat kelulusan.

“UMNO ini kalau ada kuasa memang bukan tujuan nak kuasa semata-mata, bukan kemaruk kuasa semata-mata tapi kita nak membela dan menentukan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

Ini menunjukkan UMNO masih mampu menerajui negara ke arah masa depan yang baik selepas melaksanakan polisi berkaitan rakyat termasuklah pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ujarnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, UMNO perlu mempunyai konsensus, kesepaduan dalam kalangan pemimpin dan meletakkan kepentingan terhadap parti.

Kesemua perkara berkenaan adalah prasyarat untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihan raya.

Jelas beliau, perkara itu telah disuarakan oleh perwakilan menerusi PAU 2021 yang berlangsung selama empat hari.

“Ucapan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengambil iktibar daripada suasana PAU 2021 dan kehendak daripada perwakilan.

“Mereka (perwakilan) berkehendakkan supaya ada konsensus, meletakkan kepentingan parti mendahului segala kepentingan dalam menentukan bilakah tarikh PRU-15 yang paling tepat, paling sesuai sekali.

“Kedua mesejnya, kita mesti bersatu dan kita mesti padu kerana itulah prasyarat kita berjaya dalam pilihan raya yang akan datang,” tambahnya lagi.-MalaysiaGazette