Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bercakap kepada media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO  (PAU) 2021 yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersifat kesepaduan dan kesepakatan antara satu sama lain.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ketiga-tiga pemimpin parti itu saling senada dalam memastikan UMNO dapat diperkukuhkan.

“Ucapan penggulungan ketiga-tiga pemimpin adalah ucapan penyatuan dan memberi ruang setiap pemimpin berkongsi pengalaman serta mencari jalan memperkukuhkan dan menyatukan UMNO dalam kemungkinan pilihan raya akan diadakan,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Katanya lagi, pengumuman yang dibuat oleh Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO yang juga perdana menteri jelas menyebelahi rakyat.

Terdahulu, Ismail Sabri membuat beberapa pengumuman penting ketika menyampaikan ucapan penggulungan PAU 2021 hari ini melibatkan pelaksanaan gaji minimum.

Antaranya pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan projek High-Technology Valley (AHTV) di Proton City di Tanjung Malim, Perak, keazamannya untuk tidak membenarkan wang Petronas dijarah.

Selain itu, perdana menteri turut mengumumkan projek rumah mampu milik kepada generasi muda, gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 dan kuasa yang diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memartabatkan Bahasa Melayu.  – MalaysiaGazette