Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO akan membuat pemilihan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Perkara itu ditegaskan timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam parti.

Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan memang berlaku setiap kali diadakan pemilihan.

“Saya minta Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) tolong perhatikan sikit kalau kita tulis kepada RoS (Pejabat Pendaftar Pertubuhan) jangan ada orang yang menghalang keputusan parti kita kerana menterinya bukan daripada UMNO, tahu sahajalah, susah kita nanti.

“Jika ini kita dapat luluskan, maka ini yang menjadi perkara hangat dibincangkan mutakhir ini oleh orang-orang UMNO yang perlu diselesaikan.

“Kita tak kisah tetapi apa yang kita takutkan ialah menghadapi pilihan raya selepas pemilihan parti diadakan kerana sejarah menunjukkan jelas bahawa setiap kali ada pemilihan parti perpecahan memang berlaku,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Mohamad berkata, orang-orang UMNO tidak boleh menidakkan perkara tersebut dan parti tidak mahu ahli bergesaran sesama sendiri selepas kini stabil kembali.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO perlu menjadi teraju dalam pentadbitran negara.

Katanya, jika tidak tiada sebarang manfaat dapat dinikmati oleh orang Melayu.

Justeru katanya, mengenai keputusan untuk diadakan PRU ia biarlah dibincangkan oleh lima pimpinan tertinggi parti.

“Alhamdulillah biarlah top five berbincang bila pula nak diadakan pilihan raya…jangan kita tunggu lama-lama tapi biar dia orang rasa seronok dulu.

“Sebagai pemimpin yang telah pun berjanji untuk terus bersefahaman dengan pihak-pihak pembangkang sampai bulan tujuh, kita lalukanlah bulan tujuh.

“Dan selepas itu, biar kami berlima berbincang jangan banyak sangat bincang macam kedai kopi susah nanti. Banyak kepala nanti rosak sup kita.

“Seorang nak banyak garam soarang nak kurang garam, lama-lama pening kepala,” selorohnya. – MalaysiaGazette