Mohd Amirul Norman menunjukkan cara-cara menyediakan kopi ketika ditemu bual MalaysiaGazette di 7Fiftty.Coffee, Jalan 11, Selayang Permai.

BATU CAVES – Bermula dengan angan-angan kecil untuk membuka sebuah kedai kopi, akhirnya jadi realiti.

7Fifty.Coffee yang terletak di Jalan 11, Selayang Permai, di sini, merupakan bukti kesungguhan yang ditunjukkan oleh dua beradik, Mohd Amirul Norman, 30, bersama Nur Hidayah Norman, 26, dalam mengusahakan perniagaan yang diidamkan oleh mereka selama ini.

Mohd Amirul berkata, dia sudah lama terfikir untuk membuka sebuah perniagaan lebih-lebih lagi ketika negara mula dilanda pandemik Covid-19, namun tidak dapat direalisasikan berikutan kekangan modal.

Namun, menurut jurugambar itu, setelah menerima bayaran hasil kerja ‘freelance’ yang dilakukan, dia akhirnya berjaya mempunyai modal yang mencukupi untuk memulakan perniagaan tersebut di hadapan rumah milik keluarganya.

“Kemudian saya bincang dengan adik untuk buka perniagaan apa dan tiba-tiba terfikirkan mengenai rakan serumah dahulu yang merupakan seorang barista jadi sejak itu saya mula mempelajari teknik untuk membancuh kopi serta membeli sebuah mesin kopi.

“Kami bermula pada Mei tahun lalu, ketika itu kerajaan masih belum membenarkan pergerakan rentas negeri, justeru sambutan yang diterima memang menggalakkan daripada penduduk sekitar Selayang walaupun kami baru sahaja memulakan perniagaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, semalam.

Berkongsi lanjut, Mohd Amirul berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, dia telah diminta oleh pihak pengurusan untuk bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan jika syarikat itu ditutup.

Oleh itu, dia memilih untuk membuka sebuah perniagaan sebagai pelan sandaran sekiranya kehilangan kerja.

Nur Hidayah Norman sedang menyediakan minuman yang dipesan oleh pelanggan di 7Fiftty.Coffee, Jalan 11, Selayang Permai.

“Tapi sehingga hari ini syarikat saya masih lagi kukuh dan sekiranya saya terlalu sibuk dengan kerja harian, adik lah yang akan membantu menguruskan perniagaan sepenuhnya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keunikan kedai kopi miliknya itu berbanding kedai-kedai lain di sekitar ibu negara, Mohd Amirul berkata, 7Fifty.Coffee mempunyai beberapa pilihan kopi signature yang diolah sendiri olehnya sehingga menepati citarasa para pelanggan.

Kata Mohd Amirul, selain kopi jenis klasik, kedainya turut menyajikan minuman istimewa seperti Bubble Gum Tonic dan minuman bukan berasaskan kopi seperti susu strawberi.

“7Fifty.Coffee merupakan kedai kopi bercitarasa tempatan dengan harga warung selain lokasi yang strategik di tepi jalan,” katanya.

Mohd Amirul turut mengajak kesemua peminat tegar kopi untuk berkunjung ke 7Fifty.Coffee dan merasai sendiri keunikan rasa kopi yang disajikan. – MalaysiaGazette