Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Isu berkenaan bebanan yang ditanggung oleh murid akibat beg sekolah yang berat tidak pernah selesai sehingga ke hari ini, kata Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Lt. Kol. Bersekutu (PA), Nik Saiful Adli Burhan.

Beliau memberi contoh, hari pertama persekolahan pada hari ini, GPMS melihat rata-rata murid sekolah rendah terpaksa mengangkat buku yang berat dalam beg mereka.

Katanya, perkara itu mungkin tidak akan menjadi masalah bagi pelajar sekolah menengah yang ada lebih bertenaga.

“Tapi untuk murid sekolah rendah, saya merasakan ianya sesuatu masalah yang perlu sama-sama kita fikir kaedah penyelesaiannya.

“Mengambil iktibar berdasarkan pengalaman proses pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), saya merasakan terdapat keperluan yang mendesak untuk bahan pembelajaran dalam buku teks dipindahkan ke dalam bentuk digital.

“Saya amat percaya dan yakin berapa besar pun saiz fail dalam bentuk digital tidak akan menjejaskan berat timbangan kilogram secara fizikal,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut Nik Saiful Adli, jika dalam tempoh PKP bahan pembelajaran boleh diberikan kepada pelajar secara digital mengikut topik dan tajuk tertentu, mengapa tidak dilaksanakan dalam sesi pembelajaran secara bersemuka.

Katanya, tiada keperluan untuk mengangkut keseluruhan bahan pembelajaran pada awal tahun, sedangkan ianya akan digunakan 10 bulan lagi.

“Murid yang rata-ratanya usia sangat muda iaitu dalam tempoh pembentukan postur badan, tulang belakang dan sebagainya sewajarnya diberikan perhatian khusus terutama dalam menjaga untuk tidak mengangkat bebanan yang melampaui had.

“Saya pernah melihat kitab yang digunakan dalam pengajian sekolah agama dan pondok di zaman sebelum merdeka yang ditunjukkan oleh arwah datuk saya, Ustaz Hashim Idris, seorang tokoh dan pengasas sekolah ugama moden di Kelantan.

“Kitab-kitab ini direka bentuk boleh diceraikan mengikut topik dan bab tertentu untuk meringankan bebanan dan amat memalukan jika selepas 70 tahun keprihatinan kita terhadap isu ini tidak menunjukkan perkembangan tamadun pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Kata beliau, tidak perlu lagi kerajaan membuat mesyuarat demi mesyuarat serta pelbagai perbincangan berkenaan hal itu yang akhirnya memberikan keputusan dan tindakan yang sama.

“Apa yang perlu ialah tindakan segera untuk menukarkan bahan pembelajaran secara fizikal ke dalam bentuk digital.

“Timbunan kertas berkilo-kilo di atas belakang bukan suatu yang dibayangkan oleh pemimpin terdahulu semasa merangka wawasan 2020. Ini sudah 2022,” tegasnya. – MalaysiaGazette