Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 di antara 5.5 dan 6.5 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, unjuran ini selari Dana Tabung Antarabangsa dan Bank Dunia, masing-masing pada 5.7 dan 5.8 peratus.

Menurut beliau, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh suku keempat 2021 berbanding kemerosotan 3.4 peratus dalam tempoh suku keempat 2020.

Dari segi prestasi ekonomi secara bulanan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus pada Disember, susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada November sebanyak 5.4 peratus dan 2.7 peratus pada Oktober 2021.

”Momentum pertumbuhan ini disokong oleh kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan penyambungan semula aktiviti sosial terutamanya pada suku keempat 2021.

”Secara keseluruhan, KDNK pada tahun 2021 kembali mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020.

”Prestasi ini sejajar dengan unjuran rasmi Kementerian Kewangan di antara 3.0 dan 4.0 peratus semasa pembentangan Bajet 2022,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai data-data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang Kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang serta untuk menambah peluang pekerjaan juga pendapatan rakyat dalam sesi soalan lisan hari ini

Menurut Mohd Shahar, pemulihan ekonomi pada tahun 2021 dijangka terus menyokong KDNK negara ke arah kembali mencapai paras prapandemik.

Pertumbuhan itu akan dipacu terutamanya oleh langkah di bawah Bajet 2022 yang masih bersifat mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama.

Dari sudut fiskal, bagi tahun 2021, kerajaan telah menyemak semula anggaran defisit fiskal daripada 5.4 peratus kepada 6.5 peratus berbanding KDNK berikutan penularan varian baharu Covid-19, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan dan penyediaan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan.

Walau bagaimanapun, berikutan prestasi kutipan hasil pada suku keempat yang lebih baik susulan pembukaan
semula ekonomi, defisit fiskal 2021 telah mencatat 6.4 peratus kepada KDNK.

Bagi tahun 2022, kerajaan mensasarkan defisit fiskal lebih rendah pada paras 6.0 kepada KDNK. – MalaysiaGazette