Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) menyempurnakan penyerahan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada seramai 518 orang usahawan informal dan mikro Parlimen Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya TEKUN Nasional telah menyalurkan geran bernilai RM10.2 juta sebagai inisiatif Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) negeri Pahang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, geran tersebut bagi membantu meringankan beban 3,971 usahawan informal dan mikro yang terjejas akibat bencana banjir.

“Seramai 3,971 usahawan informal dan mikro negeri Pahang yang mana premis perniagaan mereka terjejas dengan banjir akan diberikan sebanyak RM3,000 seorang.

“Geran BBKM ini disasarkan kepada peniaga informal dan mikro yang premis mereka terjejas dengan banjir dan terbuka kepada warganegara Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurnakan penyerahan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada seramai 518 orang usahawan informal dan mikro Parlimen Temerloh hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Dalam pada itu, jelas Noh, geran BBKM  diberikan secara one-off dan tidak perlu dibayar balik.

Terdahulu permohonan BKMM telah dibuka mulai 22 Februari  dan telah ditutup pada 19 Mac lalu kerana dana yang diperuntukkan telah habis.

Peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah geran itu memberi manfaat kepada 16,666 orang usahawan informal dan mikro di seluruh negara.

“Sehingga kini sebanyak 16,058 permohonan telah diterima di seluruh negara. Melalui insiatif dan bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban usahawan informal dan mikro yang terjejas dengan banjir,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,688 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM29.06 juta manakala baki selebihnya berjumlah 6,370 permohonan masih dalam proses penilaian. – MalaysiaGazette