Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan beliau pernah membantu pasukan Selangor sebelum penglibatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), beliau memberikan bantuan kewangan ketika pasukan itu di bawah pimpinan Datuk Subahan Kamal.

“Saya memberikan bantuan pada masa Datuk Subahan Kamal dulu. Zaman Selangor masih hebat dan bergelar juara.

“Sekarang ini semenjak Raja Muda ambil alih dengan pakar-pakar bola sepak tanah air dan menerima bantuan duit daripada kerajaan negeri maka mereka tidak perlukan bantuan. Syabas saya ucapkan,” katanya dipetik dari laman media sosial rasmi Twitter miliknya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon menafikan pihaknya ada menerima bantuan kewangan dari pasukan lain sejak Tengku Amir Shah menerajui kelab pada Julai 2018.

“Memandangkan ramai yang bertanya, saya ingin jelaskan bahawa di bawah kepimpinan Tuanku RMS sejak Julai 2018, Selangor tidak pernah mendapat bantuan kewangan dari pasukan lain. Dana kelab hanyalah daripada penaja rasmi dan aktiviti pengkomersialan sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, TMJ mendedahkan beliau memberikan bantuan kewangan kepada pasukan Perak bagi meringankan beban pasukan itu untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pasukan.

“Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC, tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan.

“Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong. Cuma saya tak bagi tahu media sahaja.

“Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka United.

“Isu gaji PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu, kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan,” katanya. – MalaysiaGazette