imported chicken halal Minister of Agriculture and Food Industries, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee at a news conference after launching the 36th National Fishermen's Association of Malaysia (NEKMAT) Annual General Meeting (AGM) at the Tamu Hotel in Kuala Lumpur. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette /07 DECEMBER 2021.
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam usaha meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara.

Program itu antara inisiatif baharu kerajaan dengan melibatkan pihak syarikat sebagai peneraju bagi membantu meningkatkan pendapatan pesawah selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan program itu melibatkan persetujuan bersama antara pesawah dan pengusaha dengan syarikat peneraju berteraskan kepada pendekatan sewaan serta pertanian kontrak yang mana hak pesawah masih kekal dan tidak terjejas.

“Setakat ini terdapat penyertaan 19 syarikat peneraju yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan dan menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar secara berperingkat.

“Terbaharu adalah MoU yang ditandatangani MAFI bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK),” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen pagi ini.

Menurut Kiandee, sehingga Disember 2021, pelaksanaan SMART SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor melibatkan kawasan seluas 1,274 hektar dengan bilangan pesawah 881 orang.

Jumlah pengeluaran padi bagi IADA Barat Laut Selangor pada tahun 2021, katanya adalah sebanyak 6,325 tan metrik dengan purata hasil 4.99 tan metrik per hektar.

“Program ini yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor pula melibatkan kawasan seluas 100 hektar telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.

“Bagi kawasan Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Sabak Bernam untuk musim 1/2021, kawasan seluas 159.8 hektar telah dilaksanakan melibatkan seramai 117 orang pesawah.

“Jumlah pengeluaran padi adalah sebanyak 610.8 tan metrik dengan purata hasil sebanyak 3.5 sehingga 4.4 tan metrik per hektar,” katanya.

Bagi musim 2/2021, kawasan seluas 316.2 hektar telah diusahakan melibatkan seramai 170 pesawah.

Jumlah pengeluaran padi meningkat sebanyak 285 peratus kepada 2,357 tan metrik dan purata hasil padi bagi musim 2/2021 telah meningkat sebanyak 32 peratus kepada 3.5 hingga 6.4 tan metrik per hektar berbanding musim sebelumnya.

Justeru, kata beliau, dengan purata hasil diperoleh sepanjang musim 1/2021 dan musim 2/2021, membuktikan pelaksanaan program rintis SMART SBB di Selangor telah membantu meningkatkan produktiviti padi tempatan.

Pada masa sama, kata Kiandee, dapat menangani masalah kemerosotan hasil tanaman padi di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette