Tiga nelayan yang hilang sejak Ahad lalu ditemui selamat di perairan Langkawi, Kedah hari ini.

PENAGA – Tiga nelayan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar memukat dari jeti nelayan Sungai Tembus di sini ditemui dalam keadaan selamat hari ini.

Mangsa, Muhammad Firdaus Shamsudin, 34, Afzanizul Zakaria, 44, dan Ruzaini Saad, 43, diselamatkan bot pukat tunda selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak sekali gus menyebabkan mereka terkandas di tengah laut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kesemua mangsa berada di perairan Teluk Bahang di sini, sebelum hanyut dibawa arus hingga ke kawasan perairan Langkawi, Kedah menyebabkan bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak.

Mohd Radzi.

Jelas beliau, bot yang dinaiki tiga nelayan itu terkandas di tengah laut sebelum sebuah bot pukat tunda nelayan Tanjung Dawai yang melalui kawasan itu menyelamatkan mereka kira-kira pukul 7 malam semalam.

“Mereka (mangsa) menggunakan kaedah kibar bendera merah bagi mendapatkan bantuan dan selepas diselamatkan ketiga-tiga mangsa diberikan makanan serta minuman oleh nelayan bot pukat tunda.

“Susulan itu, bot mereka ditunda ke Pulau Bidan di daerah Yan, Kedah dan kesemua mangsa berehat di sana sebelum diberikan tiga tong petrol oleh nelayan tersebut untuk pulang semula ke jeti nelayan di Sungai Tembus.

Kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka pulang sendiri menaiki bot dan tiba di jeti nelayan sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah Mohd Radzi, kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat namun dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut.

MalaysiaGazette semalam melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar untuk memukat ikan di perairan laut di Pengkalan Nelayan Sungai Tembus di sini sejak Ahad lalu.

Tiga nelayan tersebut dilaporkan keluar menaiki sebuah bot berwarna biru dan merah keluar pada pukul 5 pagi dan gagal dihubungi sehingga tengah malam hari yang sama sebelum laporan polis dibuat bagi operasi pencarian. – MalaysiaGazette