Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES 2022) yang berlangsung bermula 26 hingga 28 Julai ini bakal membuka peluang kepada peserta industri mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, acara yang berlangsung selama tiga hari itu menjadi plafform penting dalam membuktikan keupayaan dan kualiti produk untuk meneroka pasaran luar negara yang lebih meluas.

“Menerusi MIACES 2022, peserta agrikomoditi tempatan berpeluang untuk mempamerkan produk keluaran masing-masing, selain bertemu dengan peserta luar negara seterusnya membuka ruang kepada jalinan kerjasama.

“Sejumlah perwakilan dari 15 negara sudah menyatakan persetujuan untuk mengambil bahagian dalam acara ini,” katanya pada majlis pra pelancaran MIACES 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Getah Negara (MRC), Dr Daroyah Alwi; Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Larry Sng; Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Norrida Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad.

Zuraida berkata, MIACES 2022 juga dijangka menyaksikan penyertaan lima menteri dari Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, India dan Iran, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan komprehensif dalam memperkasakan industri Malaysia.

“MIACES 2022 juga menjadi medan penting kepada kita untuk menentang prejudis daripada Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kepada produk Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida menambah, peserta industri agrikomoditi tempatan perlu mengambil peluang pasaran global berjumlah kira-kira AS$756 bilion (RM3.19 trilion), bagi meletakkan Malaysia sebagai pengeksport utama dunia.

Beliau berkata, ia seterusnya memacu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. – MalaysiaGazette