Dua rakan yang terlibat lebih 100 kes kecurian termasuk mencuri telefon bimbit secara aktif di sekitar lembah klang akhirnya tumpas di tangan polis.

SERDANG – Walaupun pernah ditahan polis atas perlakuan jenayah beberapa kali sejak pertengahan tahun lalu, namun ia gagal mengubah sikap dua rakan rapat untuk terus mencuri.

Kedua-dua suspek lelaki yang berusia 40-an dan 50-an dan berasal dari Pulau Pinang itu ditahan polis kerana disyaki mencuri telefon bimbit di sebuah farmasi di Bandar Puchong Jaya, dekat sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang bekerja di farmasi itu yang mendakwa telefon bimbit baharunya yang berada di kaunter jualan hilang disyaki dicuri pada 9.30 malam.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan dua suspek lelaki itu di sebuah rumah di Bandar Puteri Puchong.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan polis berjaya menemui dan merampas sebanyak 20 unit telefon bimbit pelbagai jenama disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, pihaknya telah menjalankan soal siasat ke atas kedua-dua suspek tersebut yang mana mereka mengaku melakukan jenayah curi membabitkan kira-kira 100 kes kecurian di sekitar Lembah Klang, Johor dan Melaka.

Menurut Anbalagan, dalam kes kecurian telefon bimbit, salah seorang suspek akan berpura-pura menjadi pelanggan manakala rakannya akan mencuri telefon bimbit di bahagian kaunter.

“Selain itu, semakan lanjut polis juga mendapati suspek pertama berusia 50-an mempunyai 10 rekod lampau termasuk lima kesalahan curi dalam bangunan manakala suspek kedua mempunyai 20 rekod lampau termasuk 11 curi dalam bangunan.

“Dengan penahanan kedua-dua suspek terbabit, polis yakin telah berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes curi di daerah Serdang, tiga kes di Petaling Jaya dan satu kes di Shah Alam serta kita sedang mengenalpasti kes yang dilaporkan di daerah lain membabitkan kedua-dua suspek ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan

Anbalagan berkata, polis giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas untuk membantu siasatan kes ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222. – MalaysiaGazette