Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang yang menolak usul kerajaan berkaitan pindaan Akta SOSMA di Dewan Rakyat semalam hanya memperlihatkan wajah sebenar pembangkang yang lebih berpolitik daripada memikirkan soal rakyat.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga jelas menggambarkan pembangkang sama sekali tidak menjunjung semangat perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai sebelum ini.

“Mereka cuma mahu mencari ‘laba politik’. Anthony cuba memberi alasan kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak melanggar MoU dan ia tidak terbatal atas alasan usul berkaitan SOSMA ini tidak dirundingi dengan mereka serta kononnya isu ini tidak termasuk dalam MoU yg ditandatangani.

“Saya adalah salah seorang daripada lapan anggota jawatan kuasa perundingan MoU.

“Semangat dan tujuan MoU adalah jelas, untuk kestabilan dan keharmonian pentadbiran serta memberi sokongan kepada Petdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menguruskan pemulihan negara.

“Ia juga untuk mengurangkan ‘politiking’ dan kita tumpu kepada kepentingan rakyat,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya.

Annuar mengulas mengenai kenyataan Anthony mengenai rundingan mengenai SOSMA tidak dibincangkan sebelum ini.

“Sekarang apakah penjelasan Anthony apabila PH secara tiba-tiba minta usul diundi secara belah bagi?

“Kenapa PH begitu nekad untuk menewaskan undi kerajaan sehingga sanggup menolak undi empat ahli Parlimen BN yang sudah berada dalam Dewan semasa undian masih lagi berjalan?

“Sekiranya PH tidak setuju dengan usul, kenapa tidak minta untuk berunding?,” soalnya.

Beliau berkata, tindakan menolak usul dengan disusuli sorakan selepas keputusan itu sangat menjengkelkan.

“Jelas membuktikan PH tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

“Anthony tentu tahu, usul berkenaan dibawa oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) yang merupakan pengerusi bersama beliau dalam jawatan kuasa Perundingan MoU.

“Apa alasan untuk PH tidak memohon rundingan diadakan sekiranya tidak bersetuju dengan usul, sedangkan usul ini hanya bermaksud untuk menyambung tempoh pemakaian seksyen tertentu, yang sudah pun dilulus oleh Parlimen sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, ugutan daripada Pengerusi DAP Lim Guan Eng untuk menamatkan MoU berhubung pindaan perlembagaan dan Akta Anti Lompat Parti menunjukkan parti ini tidak jujur.

“Justeru PH, khususnya DAP perlu bertanggungjawab jika rosaknya MoU ini.

“Bagi saya, PH khususnya DAP perlu menerima hakikat bahawa perdana menteri sudah tidak lagi terikat dgn MoU ini.

Annuar juga turut menegaskan BN sesekali tidak gentar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 seperti yang ditetapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

“Kami ahli parti yang setia (party men) mendokong sepenuhnya ketetapan itu,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul tersebut telah ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan 86 ahli Parlimen tidak menyokong, 84 ahli Parlimen menyokong dan 50 ahli Parlimen tidak hadir.

Ia telah menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan. – MalaysiaGazette