Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi terikat dengan perjanjian yang ditetapkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan ahli Parlimen PH menggagalkan usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah membebaskan kerajaan dan perdana menteri daripada perjanjian berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, penolakan usul oleh ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat jelas telah melanggar MoU yang ditandatangani sebelum ini.

“Jadi kerajaan dan #PerdanaMenteri sudah tidak terikat dgn MOU itu.

“Berdasarkan kepada peristiwa semalam di #DewanRayat bila KDN kalah undi belah bahagi, maka selamat tinggal MOU.

“Ayuh kita teruskan melangkah…” katanya di Twitter.

Kerajaan yang diwakili Ismail Sabri menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pemimpin PH pada  September tahun lalu.

Pada waktu itu Ismail Sabri baharu dilantik sebagai Perdana Menteri dan negera amat memerlukan kestabilan politik.

Secara asasnya, MoU berkenaan lebih bersifat perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) di antara blok Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mewakili pembangkang.

Perkara 3.3(b) dalam MoU menyatakan bahawa PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan, bermakna mereka berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

Paling penting, MoU tersebut memastikan tiada sebarang usaha pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022 daripada pihak kerajaan, selagi mana MoU dipertahankan oleh blok kerajaan dan pembangkang.

Bagaimanapun semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen Pembangkang tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Sebelum itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memutuskan usul itu diundi secara belah bahagian selepas Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) bangun meminta undi belah bahagian dibuat, selaras Peraturan Mesyuarat 46(4).

Sesi undian itu sedikit kecoh apabila sejumlah Ahli Parlimen Pembangkang membangkitkan bantahan terhadap beberapa Ahli Parlimen Kerajaan yang masuk lewat ke dalam Dewan Rakyat, selepas sesi undian dimulakan.

Susulan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menolak undian beberapa Ahli Parlimen yang masuk lewat.

Difahamkan, tiga undi Ahli Parlimen kerajaan ditolak menyebabkan usul itu gagal diluluskan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. check hansard tengok list (senarai ahli Parlimen) UMNO sendiri berapa ahli Parlimen tidak hadir sidang menyebabkan usul kerajaan tak jadi lulus.

    sandiwara umNONGOK untuk paksa PRU 15 segera…TIDAK LUPA dengan MAINAN KOTOR 15 umNONGOK tarik sokongan /bubarkan dun MELAKA dan JOHOR…HASNI menelan NIKMAT KENCING ZAHID MUNAFIK

Comments are closed.