Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mendaftarkan dua pengendali Tawaran Awal Bursa (IEO), Kapital DX Sdn Bhd dan Pitch Platforms Sdn Bhd, untuk menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dalam ruang aset digital.

Pengendali IEO yang berdaftar akan menyediakan laluan alternatif untuk syarikat yang
layak mengumpul dana melalui pengeluaran token digital di Malaysia.

Penerbit boleh mengumpul dana sehingga RM100 juta daripada pelabur runcit, sofistikated, serta pelabur mangkin, tertakluk kepada had pelaburan yang disediakan dalam Garis Panduan SC mengenai Aset Digital.

Pengendali baharu ini akan dikehendaki menjalankan penilaian yang diperlukan, antara lain, untuk mengesahkan cadangan nilai digital penerbit, menyemak cadangan dan pendedahan penerbit dalam Kertas Putihnya, dan menjalankan usaha wajar yang komprehensif ke atas penerbit dan tawaran tokennya, sebelum menganjurkan token digital penerbit pada platform mereka.

Selain itu, mereka akan diberi masa sehingga sembilan bulan untuk mematuhi semua
keperluan kawal selia sebelum memulakan operasi dan ini termasuk melaksanakan
proses Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Membanteras Pembiayaan Keganasan
(AMLA/CFT) yang teguh dan berkesan untuk mengurangkan Risiko Pengubahan Wang
Haram dan Pembiayaan Keganasan (ML/TF).

SC mengingatkan orang ramai bahawa mereka tidak dibenarkan menawarkan, mengeluarkan atau mengedar sebarang aset digital, yang telah ditetapkan sebagai sekuriti, di Malaysia tanpa mendapatkan pendaftaran atau kebenaran daripadanya.

Sehubungan itu, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi
RM10 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dengan risiko berkaitan dengan pelaburan dalam aset digital, termasuk risiko melabur pada platform yang tidak berdaftar dengan SC.

Pengesahan status pendaftaran pengendali platform IEO boleh dilihat menerusi https://www.sc.com.my/development/digital/digital-initiatives. – MalaysiaGazette