Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menahan 21 wanita warga asing yang disyaki menawarkan khimat pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 25 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 21 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelayan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Bukit Bintang, di sini, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi serbuan tersebut pihaknya memeriksa 79 warga tempatan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Menurut beliau, aktiviti tidak bermoral itu menggunakan modus operandi dengan menawarkan GRO untuk memakai selempang yang disertakan dengan nilai wang ringgit.

“Pelanggan akan pilih GRO yang mereka suka untuk dipakaikan selempang bernilai RM100, RM200, RM300, RM1,000 dan kemudian GRO itu akan melayan pelanggan tersebut untuk minum dan sebagainya.”

“Harga selempang paling mahal adalah RM1,000 di mana pelanggan boleh bawa wanita itu pulang untuk tempoh satu malam,” katanya dalam sidang media selepas operasi bersepadu, semalam.

Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menahan 21 wanita warga asing yang disyaki menawarkan khimat pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 MAC 2022.

Jelas Khairul, seramai 23 pegawai Imigresen serta empat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Berdasarkan semakan awal, katanya, tiga daripada mereka yang ditahan merupakan dua warga Thailand dan seorang warga Vietnam yang memegang pas lawatan sosial iaitu isteri kepada tiga warga tempatan.

Tambah beliau, selebihnya yang ditahan adalah warga Thailand dengan pelbagai kesalahan seperti tiada cop masuk dalam pasport, tinggal lebih masa dan dipercayai masuk menggunakan lorong tikus melalui sempadan negara.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mmpunyai pas yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, JIM sentiasa prihatin terhadap aduan dan maklumat yang diberikan oleh orang awam serta tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram dan menyalahgunakan pas.

“Sempadan negara yang akan dibuka pada 1 April nanti membuatkan JIM akan terus giat membanteras pendatang asing tanpa izin dan mereka yang salah guna pas lawatan sosial yang kita keluarkan untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette