Onn Jabbar ketika ditemui selepas program ziarah pusara dan gotong-royong peringkat negeri Johor di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di Johor Bahru hari ini yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Sah.

JOHOR BAHRU – Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menyasarkan kedudukan lima terbaik dalam penyertaan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali-20 yang akan diadakan di Kuala Lumpur September ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan), Datuk Onn Jabar berkata, ia bagi mengatasi pencapaian direkodkan pada edisi SUKMA terdahulu.

Beliau berkata, buat masa ini MSNJ sedang giat menjalankan persiapan rapi melatih atlet-atlet sebagai persediaan mencapai sasaran yang diletakkan.

“Buat masa ini, kita sedang giat membuat persiapan bagi memastikan misi memburu emas di kejohanan SUKMA mampu mencapai sasaran.

“Pada temasya SUKMA di Perak yang lalu, kontinjen Johor memenangi 29 pingat emas dan berada di posisi ketujuh dalam senarai keseluruhan.

“Sasaran kita adalah untuk berada di kedudukan yang lebih baik daripada keputusan itu selain berada dalam posisi lima terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ziarah pusara dan gotong-royong peringkat negeri Johor di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Sah.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dikenali sebagai SUKMA XX MSN 2022 akan diadakan bermula 29 September hingga 8 Oktober ini.

Jawatankuasa tertingginya juga bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang telah dipersetujui sebelum ini.

Sukma XX yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertandingkan 31 jenis sukan iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan serta dua sukan demonstrasi – silambam dan kabaddi.

Mengulas lanjut si majlis sama, Mohd Hairi berkata, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyampaikan amanat untuk menjaga kepentingan anak muda di negeri ini.

“Datuk Onn Hafiz yang pernah memegang portfolio belia dan sukan mengingatkan saya untuk menjaga kepentingan orang muda di negeri ini.

“Kita lihat kebangkitan orang muda yang bersama dengan program kerajaan untuk melibatkan diri. Bagi aktiviti sukan pula, saya Akan duduk bersama agensi dan persatuan sukan bagi membincangkan aktiviti Yang akan dijalankan,” ujarnya.-MalaysiaGazete