Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Keluasan kawasan berhutan di Pahang adalah seluas 2.04 juta hektar dan mewakili 57 peratus keluasan negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia menjadikan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan  di Semenanjung Malaysia.

Menerusi entri Facebook, beliau berkongsi fakta hutan di Pahang sempena Sambutan Hari Hutan Sedunia dengan memuat naik infografik berkaitan.

Sumber : Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

“Pahang meneruskan komitmen tidak berbelah bahagi menerusi kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara hutan dan khazanahnya di negeri ini.

“Ketika ini negeri Pahang Darul Makmur mempunyai hutan simpan Kekal berkeluasan 1.6 juta hektar manakala kawasan berhutan di negeri ini adalah seluas 2.04 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan Negeri Pahang Darul Makmur iaitu 3.6 juta hektar,” katanya.

Terdahulu Wan Rosdy mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Hutan Simpan Sungai Yu, Lipis semalam.

Tambah Wan Rosdy, kawasan hutan perlindungan  seluas 645,751 hektar di mana kawasan tersebut tidak boleh disentuh apatah lagii diusik  untuk kerja-kerja pembalakan.

Selain itu, hutan di Pahang merupakan kawsan tadahan air seluas 343,680 hektar iaitu bersamaan 9.5 peratus daripada jumlah keluasan negeri itu. – MalaysiaGazette