Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Malaysia menduduki tempat kedua terbaik dari segi pengukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Kata beliau, pengukuran itu dibuat berdasarkan persepsi melalui kajian oleh institusi antarabangsa dan untuk tahun 2021, CPI dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian.

Katanya, laporan itu menunjukkan Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura dan antara sembilan negara daripada persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang terlibat.

“Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun.

“Sebagai contoh, kajian CPI bagi tahun 2021 tidak melibatkan negara Brunei,” katanya dalam ucapan penggulungan Titah Diraja Dewan Negara di Parlimen petang ini.

Kata Mas Ermieyati, Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sebagai penyelaras dengan kerjasama agensi peneraju akan terus mempergiat gerakan pelaksanaan inisiatif dalam enam bidang keutamaan yang dinyatakan dalam Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP).

Selain itu, promosi dan hebahan berhubung inisiatif berkaitan pemantapan governans akan terus dipertingkatkan bersama 27 Ketua Agensi Peneraju NACP bagi memastikan hebahan berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat disampaikan kepada umum, sekali gus memberi persepsi yang tepat.

Menurutnya, beberapa sesi libat urus juga telah diadakan oleh GIACC, JPM bersama Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) seperti Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta belia melalui Sesi Dialog Awam.

Beliau menambah, GIACC juga telah mengadakan persidangan penyelidikan peringkat kebangsaan pada 23 hingga 24 Mac lalu untuk membincangkan isu semasa berkaitan risiko rasuah, integriti dan kelemahan governans bagi tujuan penambahbaikan.

“Melalui langkah ini, komitmen dan kerjasama berterusan dari semua pihak akan terus dipertingkat ke arah memperbaiki prestasi negara dalam CPI di masa depan.

“Kerajaan kekal komited memastikan usaha pemerkasaan GIACC dilaksanakan melalui NACP yang telah dimulakan sejak 2019.

“Antara inisiatif itu termasuk pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran melalui Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen serta penyediaan draf Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman yang dijangka dibentang di Parlimen tahun ini,” katanya.

Beliau turut menjawab cadangan dibangkitkan Senator Datuk Dr. Nuing Jeluing agar laporan terkini mengenai NACP dibentangkan di Parlimen termasuk di Dewan Negara.

Katanya, laporan kemajuan NACP bagi 2019 telah diedarkan kepada Parlimen pada November 2020, manakala untuk 2020 dan 2021 dijangka diedarkan 30 Mac ini dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 Tahun 2022.

Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 37 inisiatif NACP bersamaan 33 peratus telah selesai di peringkat output merangkumi 29 inisiatif selesai pada 2019 dan lapan pada 2021.

Berhubung soalan Senator Dr. Martina Wan Yusoff mengenai jumlah kertas siasatan yang dibuka dan berapa kes berprofil tinggi telah serta disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, jumlah kertas siasatan yang telah dibuka oleh SPRM bagi 2017 sehingga Februari lalu sebanyak 4,661 dengan 453 daripadanya adalah kes berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif (HPPIS).

SPRM juga telah menetapkan tatacara pengendalian aduan, maklumat dan pelaksanaan siasatan HPPIS untuk memastikan pengendalian kes dapat diuruskan dengan lebih sistematik, bersepadu dan efektif.

Mas Ermieyati berkata, SPRM tidak pernah menyekat mana-mana perkembangan kes rasuah berprofil tinggi untuk didedahkan kepada umum sama ada melalui kenyataan SPRM atau dijawab oleh pengurusan tertinggi suruhanjaya itu semasa ditemuramah media.

“Bagaimanapun, SPRM hanya akan memberikan maklum balas terhad bagi mengelak proses siasatan terganggu.

“SPRM secara keseluruhannya tidak diletakkan di bawah mana-mana kuasa pihak tertentu malah SPRM tetap berpegang kepada dua asas utama iaitu prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang. – MalaysiaGazette