Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah supaya tiada lagi projek sakit di negeri ini.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada bagi mengelak berlakunya projek yanvg lambat disiapkan.

“Saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di Pahang, setiap peruntukan yang diterima perlu dibelanja dengan cepat dan betul supaya rakyat dapat menerima manfaat yang sebaiknya,” titahnya pada sesi pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-14, disini, hari ini.

Baginda berharap Kerajaan Pahang dan Persekutuan perlu bekerjasama rapat bagi melaksanakan projek-projek yang mendesak di bawah Rancangan Malaysia ke-12 serta berimpak tinggi.

Titah baginda, ini termasuk pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi berisiko tinggi berlakunya bencana.

Sementara itu, Tengku Hassanal bertitah, sebanyak RM 71 juta telah dibelanjakan bagi membantu mangsa banjir di pahang baru-baru ini.

Titah baginda, ia melibatkan bantuan wang ihsan, bantuan kematian serta perbelanjaan keperluan di pusat pemindahan sementara banjir, bantuan sewa rumah serta pemulihan pasca banjir.

“Kerajaan saya (Pahang) telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM19,000 untuk setiap rumah yang terjejas teruk dan perlu dibina semula di bawah insentif rumah kasih Keluarga Malaysia.

“Ini menjadikan peruntukan membina sebuah rumah tersebut adalah berjumlah RM75,000 yang mana RM56,000 merupakan sumbangan kerajaan persekutuan dan RM19,000 lagi merupakan sumbangan kerajaan negeri.” titah baginda.

Ia termasuk pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana. – MalaysiaGazette