Richmond Tetteh Ankrah. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selangor FC memilih Richmond Tetteh Ankrah bagi menggantikan tempat Jordan Ayimbila yang melebarkan sayapnya bermain dalam Kejohanan USL setelah beraksi dengan cemerlang bersama pasukan Gergasi Merah itu pada musim lalu.

Pemain berketinggian 190 sentimeter itu merupakan seorang lagi pemain muda dan juga merupakan kapten pasukan daripada Accra Lions yang bertandang ke Malaysia bagi mendapatkan peluang untuk bermain di peringkat lebih tinggi bersama pasukan Selangor FC.

Berusia 22 tahun, dia merupakan pemain import muda kelima selepas Hein Htet Aung dan tiga rakan sepasukannya di Accra Lions iaitu George Attram, Jordan Ayimbila dan Alexander Agyarkwa yang telah menandatangani kontrak bersama pasukan feeder Gergasi Merah.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berkata, dia agak kagum dengan prestasi bek tengah kelahiran Ghana itu pada musim-musim sebelum ini.

“Hampir dua musim saya memerhatikan beliau. Accra Lions telah dinaikkan pangkat ke Divisyen Pertama dan beliau kekal menjadi kapten pasukan tersebut, ini menunjukkan beliau mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi serta kemahiran yang baik dalam padang.

“Beliau juga merupakan seorang pertahanan tengah yang sangat berkebolehan. Saya pasti dia akan membantu pasukan sebaik sahaja beliau diberi peluang tersebut. Buat sementara ini, beliau akan didedahkan dengan kancah Liga Malaysia bersama pasukan Selangor FC 2 dahulu bagi memastikan beliau dapat menyesuaikan diri di negara baharu,” ujarnya seperti dipetik Selangorfc.com.

Menurut Michael, kehadiran Richmond adalah yang terbaik bagi menggantikan pemain import muda sebelum ini, Jordan Ayimbila.

“Richmond bagi saya merupakan pengganti Jordan Ayimbila yang terbaik yang telah disunting oleh kelab San Antonio setelah beraksi dengan cemerlang dalam Liga Malaysia musim lalu. Jordan telah pun beraksi bersama pasukan baharunya  dalam Kejohanan USL baru-baru ini

“Saya berharap pemain Accra Lions yang lain seperti George, Alex dan Richmond dapat menunjukkan peningkatan yang sama dan mereka boleh membuat langkah seterusnya seperti Jordan.

“Tidak lupa juga terima kasih atas sokongan tinggi daripada pihak pengurusan Selangor FC bagi memberi peluang-peluang seperti ini terjadi kepada pemain-pemain muda,” ujarnya. – MalaysiaGazette