Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Sany bercakap kepada media pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) buatan Itali pada April dan September tahun ini, seperti dijadual pada tahun ini.

Helikopter utiliti jenis AW139 itu dilengkapi dengan radar pencarian, RDR 1700A dan mesingan 12.7 milimiter..

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, dua buah helikopter akan diterima pada April ini dan sebuah lagi diterima pada September ini.

“Ketiga-tiga helikopter ini akan dilibatkan dalam beroperasi di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya ketika ditemui pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Tambah beliau dalam perkembangan sama, TLDM ketika ini sudah mengoperasikan masing-masing enam helikopter Super Lynx dan AS555SN Fennec sejak tahun 2003.

Menurutnya, perolehan tiga buah helikopter dengan peruntukan RM220 juta itu akan  menggandakan keupayaan Unit Udara TLDM.

“Model AW139 merupakan helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan lebih 900 pesawat telah dibina setakat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Reza memberitahu, TLDM merancang menambah tiga buah kapal misi pesisir (LMS) dengan China, Belanda dan Turki disenarai pendek sebagai negara pengeluar. – MalaysiaGazette