Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah mengekalkan harga bersubsidi minyak masak pek satu kilogram pada kadar RM2.50 menyebabkan berlaku ketidakcukupan bahan itu bagi menampung kos subsidi.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, harga sebenar minyak masak bagi pek itu kini mencecah RM7 sekilogram.

Walaupun begitu, kata beliau, kelewatan itu bukan isu utama, sebaliknya bekalan tidak mencukupi menyebabkan jurang harga yang sebenar antara harga bersubsidi dengan harga pasaran.

“Apabila perbezaan ketara antara harga bersubsidi dan harga pasaran berterusan, ia telah mengakibatkan kesan langsung yang lain termasuk penggunaan minyak masak bersubsidi oleh golongan bukan sasaran subsidi termasuk sektor perniagaan seperti restoran.

“Inilah antara sebab utama golongan sasar iaitu isi rumah berpendapatan rendah berhadapan ketidakcukupan minyak masak bersubsidi, walaupun pengeluaran 60,000 metrik tan sebulan jauh melebihi keperluan isi rumah B40,” katanya ketika penggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shahar, ketika ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan operasi Op Goreng sepanjang tahun 2021.

Kata beliau, operasi itu melibatkan pemeriksaan premis perniagaan dan setiap rantaian bekalan agar tidak berlaku ketirisan serta penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ujar beliau, bagi mengawal keberadaan minyak bersubsidi di pasaran, KPDNHEP telah mengehadkan penjualan minyak masak sebanyak tiga paket bagi setiap pelanggan.

“Ini untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi untuk kegunaan semua rakyat.

“Selain itu, KPDNHEP juga telah melaksanakan kerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain untuk memastikan minyak masak tidak diseludup ke luar negara,” katanya.

Sebanyak tujuh Anggota Dewan Negara (AND) mengambil bahagian dalam perbahasan yang melibatkan minyak masak bersubsidi. – MalaysiaGazette