Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan D Nagaentharan. yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Singapura hari ini mengekalkan hukuman mati yang diputuskannya terhadap rakyat Malaysia, D Nagaenthran di atas kesalahan mengedar dadah di republik itu.

Lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon menolak rayuan kes itu dengan menegaskan tindakan merayu merupakan salah guna proses mahkamah selain menolak hujah undang-undang antarabangsa.

Turut bersidang dan bersetuju dengan ketetapan itu ialah Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

Peguam yang mewakili Nagaenthran, M Ravi berkata, hukuman itu akan dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari selepas mahkamah rayuan menolaknya.

Nagaentharan yang mengalami cacat mental sepatutnya menjalani hukuman mati pada 10 November tahun lalu namun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu bagi memberi laluan rayuan kes dilakukan pada hari ini.

Nagaenthran pernah merayu supaya mahkamah menggunakan kuasanya untuk meminta pakar psikiatri menilai beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon rakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong meringankan hukuman terhadap Nagaenthran selepas mengambil kira situasi Nagaenthran.

Kes tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura tidak melaksanakan hukuman mati terhadap tertuduh, sebaliknya diberikan pengampunan.

Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) yang disertai 28 negara rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia dan Singapura, berpendapat tertuduh menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah kerana memiliki IQ serendah 69 serta menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian.

Presiden Singapura, Halimah Yacob ketika menjawab permohonan dan desakan umum itu berkata, Nagaenthran telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya di negara itu.

Tertuduh yang berasal dari Ipoh, Perak ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintas sempadan Malaysia-Singapura.

Dadah itu telah dilekatkan di pahanya kirinya.

Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 memperuntukkan hukuman mati terhadap individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram. – MalaysiaGazette