Natasha Hudson dan Jay Jasmin.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan, Natasha Hudson mendedahkan dia tidak meminta wang hantaran apabila menamatkan zaman ibu tunggalnya dengan Muhammad Harits Jasmin atau lebih dikenali dengan nama Jay Jasmin di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, kelmarin.

Pemilik nama penuh, Natasha Liana Hudson itu juga memberitahu, suaminya itu adalah kenalan lamanya.

“Dia kenalan lama saya. Kami pun tak nak bercinta lama. Keluarga sudah saling mengenali. Kami putuskan untuk mempercepatkan perkara baik ini.

“Satu perkara biarpun saya pernah melalui fasa hidup berumah tangga sebelum ini, dia sangat memahami. Saya pun memilih untuk tidak berada dalam kehidupan silam.

“Moga ikatan ini akan menuju ke satu pengakhiran yang baik. Insya-Allah,” katanya yang berusia 39 tahun.

Pada majlis nikah serba ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan dihadiri 10 orang keluarga terdekat, pelakon filem Chermin itu hanya menerima mas kahwin RM300 selain bertukar dulang hantaran.

Mereka kemudian diraikan dalam majlis santai di kediaman ibu Jay juga di Bangi.

Kata Natasha, dia dan suami berkongsi minat yang sama dalam aktiviti bersukan dan lasak.

“Hujung tahun lalu, saya ke Pulau Langkawi kerana menguruskan urusan pembukaan pusat memanah. Suami pula mengendalikan perniagaan luncur ombak di sana.

“Akhirnya kami jadi rakan perniagaan dalam usaha menjadikan pulau pelancongan di Kedah itu sebagai tarikan. Kini, kami jadi teman sehidup semati pula.

“Insya-Allah selepas ini, sekitar minggu depan … kami akan pulang ke sana. Saya juga akan terus menetap di sana. Cuma anak saya tak ikut kerana bersekolah di ibu kota,” katanya yang masih berulang-alik ke KL untuk urusan kerja dan anak.

Mengenai perancangan berbulan madu, kakak kepada Tania Hudson ini menjelaskan dia dan suami belum memikirkannya.

“Lagipun nak masuk bulan puasa tak lama lagi. Tengoklah nanti mungkin lepas raya.

“Saya pun nak kena pastikan urusan perniagaan menerusi pusat memanah di Langkawi terus berkembang,” katanya yang turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Sungai Petani selepas Syawal nanti.

Mengenai cahaya mata, baik suami dan Natasha hanya berserah.

Natasha sebelum ini pernah berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata. – MalaysiaGazette