Mohd. Ramadhan Ab. Hamid. Foto Facebook UiTM FC.

KUALA LUMPUR – Permulaan yang perlahan buat UiTM FC di pentas Liga Premier bukanlah satu petanda yang mereka tidak berupaya untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain sepanjang musim ini.

Menurut penjaga gol UiTM, Mohd. Ramadhan Ab. Hamid, pasukan berkenaan masih dalam fasa pembelajaran kerana rata-rata pemain dalam skuad itu hanya beraksi di Piala Presiden musim lalu.

Dia percaya UiTM akan bangkit selepas melalui dua kekalahan berturut-turut kepada Selangor 2 (0-1) dan Kelantan FC (0-3) sambil berharap mereka mampu melakar kejutan semasa bertandang ke Stadium Negeri berdepan Kuching City FC di pusingan pertama Piala FA 2022.

“Pasukan ni sebenarnya baru lalui dua perlawanan dan kami sedang dalam fasa membina persefahaman kerana kebanyakan pemain UiTM sebenarnya kurang pengalaman bermain di Liga Premier atau Super.

“Tanpa pemain import, memang saya tidak nafikan ada sedikit sebanyak berikan kesan tetapi saya percaya dengan kemampuan pemain muda dalam pasukan ini.

“Lama kelamaan saya yakin mereka akan cepat belajar dengan rentak Liga Premier dan persefahaman dapat dibentuk selepas kita lalui beberapa perlawanan lagi.

“Harap untuk aksi seterusnya, kami boleh melakukan kejutan di Piala FA walaupun kami belum mengetahui kemampuan lawan, Kuching City pada musim ini kerana belum lagi turun beraksi.

“Kita tidak boleh ambil mudah akan kemampuan Kuching namun saya berharap pentas Piala FA ini akan menjadi titik tolak kebangkitan kami, ” katanya.

Ramadhan yang merupakan bekas penjaga gol Kelantan United musim lalu ialah produk Harimau Muda selain pernah bermain di Kelantan, Kedah dan Penang.

Menjadi ketua pasukan buat UiTM dalam dua perlawanan lalu, Ramadhan yang berusia 28 tahun berharap akan mendapat lebih banyak minit permainan pada musim ini walaupun perlu bersaing dengan bekas penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

“Saya datang ke sini sebenarnya mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan dan sentiasa diturunkan dalam kebanyakan perlawanan.

“Sebelum ni saya sering kali bergelut dengan isu kecederaan sekaligus menyukarkan peluang untuk tersenarai selaku penjaga gol utama.

“Harap segalanya dipermudahkan bagi musim ini dan ramai boleh melihat sejauh mana kemampuan sebenar saya,” katanya. – MalaysiaGazette