Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Dewan Negara dimaklumkan draf pentadbiran Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Anti Lompat Parti menetapkan pilihan raya perlu diadakan semula sekiranya berlaku beberapa keadaan yang ditetapkan.

Keadaan itu melibatkan, Ahli Parlimen keluar parti, dipecat dari parti dan Ahli Parlimen bebas menyertai parti lain disebabkan bertanding sebagai calon bebas.

Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi Ahli Parlimen yang memenangi kerusi Parlimen, tetapi mengumumkan keluar parti dengan menyatakan beliau bebas atau menyertai mana-mana parti politik yang lain dikira sebagai melompat parti.

Begitu juga katanya, bagi Ahli Parlimen yang memenangi kerusi Parlimen, tetapi dipecat oleh parti juga dikira sebagai melompat parti.

“Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

“Parti yang memecat mereka akan berhadapan risiko kehilangan kerusi kerana pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya dalam Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Berhubung Ahli Parlimen bebas, kata beliau, jika menyertai parti lain, pilihan raya perlu diadakan semula.

Katanya, individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari daripada dipecat dan akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagai mana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya RUU Anti Lompat Parti diluluskan, ia akan berkuatkuasa secara prospektif, bukan retrospektif.

“Rumusan yang boleh dibuat hasil daripada sesi libat urus ini, majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan draf pentadbiran RUU ini.

“Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan undang-undang ini, tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya berlaku tindakan melompat parti oleh Ahli Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Berapa kali pilihan raya weh . Tak sampai sebulan pilihan raya kena pilihan raya lagi ke . Banyak duit kerajaan nampak untok melayan katak politik ni.

Comments are closed.