Gambar hiasan

KLANG – Dua beranak yang videonya tular di media sosial kerana menghalang laluan sebuah ambulans, dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya dan menghalang perjalanan ambulans, minggu lepas.

K. Moganasuntharan, 63, dan anaknya, Kartik, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, yang dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid dan Noorjidah Mohd Jusan.

Di hadapan Amirul Asyraf, mereka masing-masing didakwa telah menunggang motosikal dan memandu van secara berbahaya kepada orang awam di Jalan Tepi Sungai, di sini, pada 2 petang, 24 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Penggangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen selama tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Noorjidah, Moganasuntharan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan telah dengan sengaja menghalang perjalanan sebuah ambulans yang dipandu Muhammad Nur Aqhari Rosli, 22, di tempat dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Amirul Asyraf kemudiannya mengenakan jaminan RM3,000 dan satu penjamin kepada setiap tertuduh, bagi kesalahan menunggang dan memandu kenderaan secara berbahaya, manakala bagi kesalahan menghalang ambulans, Noorjidah membenarkan Moganasuntharan dilepaskan dengan jaminan RM1,000 serta seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 1 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Ayuni Jamri dan TPR Muhd Hanis Zulkapli, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A. Biranta. – Bernama