Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa kejadian banjir besar yang melanda beberapa buah kampung di Rantau Panjang, Kelantan berpunca daripada projek tebatan banjir (PTB) yang dibina di kawasan tersebut.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kegagalan PTB berfungsi dengan berkesan menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku banjir turut dilanda bencana itu.

Jelas beliau, kejadian itu bukan saja memusnahkan harta benda penduduk malah mengancam kehidupan mereka.

“Sejak projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dibina, sudah dua kali banjir besar melanda Kampung Tersang, Kampung Gual To’ Deh, Kampung Gual Periok, Kampung Padang Licin dan Kampung Kusar.

“Masalah ini didakwa berpunca daripada projek tebatan banjir yang dibina sejauh 30 kilometer dari Tok Uban ke Lancang itu tidak mempunyai pintu air kecemasan dan apabila hujan lebat air tidak dapat mengalir ke Sungai Golok sekali gus melimpah masuk ke kampung tersebut.

“Kita hairan PTB yang sepatutnya menangani isu banjir kini mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, kerajaan negeri Kelantan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

“Kita juga mencadangkan agar kerajaan Kelantan membayar pampasan kepada penduduk yang mengalami kerugian disebabkan masalah ini.

“Selain itu, CAP berpendapat kerajaan negeri dan pihak berkaitan perlu mengadakan berbincang dengan penduduk tempatan terlebih dulu bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap sesuatu projek yang dirancang,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette