Adnan (tengah) menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada wakil sekolah baru-baru ini.

KUALA PILAH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan pendidikan kira-kira RM80,000 kepada 600 murid dan penuntut institusi pengajian tinggi di Kuala Pilah.

Bantuan itu, menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Adnan Abu Hassan adalah sempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan serta semester universiti.

Kata beliau, YBR telah memperuntukan RM30,000 kepada penuntut dari keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan melanjutkan pengajian di peringkat universiti dan RM50,000 kepada murid yang bakal memulakan sesi persekolahan.

Katanya, bantuan itu dapat memberi peluang kepada mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Program ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar IPT serta murid sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana lain dalam meneruskan pembelajaran,” katanya.

Replika cek bantuan persekolahan dan bantuan awal pengajian itu disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri kepada wakil pemimpin tempatan.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Turut berlangsung di majlis yang sama adalah penyerahan replika cek Program Kelas Tuisyen YBR kepada calon pelajar SPM 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, Kuala Pilah berjumlah RM7,560 yang diterima pengetuanya, Normah Mohd Nor.

Menurut Adnan, inisiatif bantuan pendidikan itu diharapkan menjadi pendorong kepada organisasi lain untuk turut sama membantu kepada masyarakat yang memerlukan.

Beliau berkata, prihatin dengan sesi persekolahan 2022 yang bakal bermula, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan sedikit sebanyak membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan anak mereka.

Katanya, Sejak 2018, seramai 66,399 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan kira-kira RM7.87 juta.

“Sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan RM2.2 juta sejak 2017 dan bagi tahun ini, sejumlah RM1 juta diperuntukan,” katanya. – MalaysiaGazette