Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bersama Naib Presiden Eksekutif DataSonic, Hisham Abu (dua kiri) dan Pengarah Urusan DataSonic, Wan Zalizan Wan Jusoh (tiga kiri) menunjukkan pasport yang dihasilkan mesin Pasport Dispender ketika membuat lawatan ke kilang pembuatan pasport antarabangsa Malaysia di DataSonic Corporation Sdn Bhd, Petaling Jaya. Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bersama Naib Presiden Eksekutif DataSonic, Hisham Abu (dua kiri) dan Pengarah Urusan DataSonic, Wan Zalizan Wan Jusoh (tiga kiri) menunjukkan pasport yang dihasilkan mesin Pasport Dispender ketika membuat lawatan ke kilang pembuatan pasport antarabangsa Malaysia di DataSonic Corporation Sdn Bhd, Petaling Jaya. Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin pembekalan dua juta pasport pada tahun ini dapat dipenuhi bagi memastikan permohonan baharu dan pembaharuan pasport mampu dilaksanakan pada kadar segera berikutan pembukaan semula sempadan negara, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, syarikat yang membekalkan pasport kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah pun meningkatkan keupayaan untuk mengeluarkan pasport berkualiti tinggi itu.

“Semalam sahaja pembekal telah membekalkan 150,000 stok pasport kepada Jabatan Imigresen dan telah meningkatkan stok yang ada dengan kita sebanyak 330,000 pasport.

“Kalau jumlah ini tidak mencukupi, mereka sedang melakukan aktiviti menambah pasport untuk dihantar ke Imigresen, buat masa ini mereka ada stok sebanyak 600,000 dan kalau kita bincang daripada unjuran yang kita mahukan saya yakin permohonan pasport baru melebihi dua juta itu akan mencukupi untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang pembuatan pasport antarabangsa Malaysia, Datasonic Technologies Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Tambahnya, dengan permohonan dalam talian, kementerian itu akan lebih bersedia untuk membuat anggaran yang lebih tepat bagi memastikan proses pemohon dan pembaharuan berjalan lancar.

“Jadi itulah sebabnya saya mahukan jaminan bahawa ciri keselamatan tidak boleh ditiru. Saya juga mahu memastikan pekerja di sini adalah mereka yang telah diperiksa rekod mereka dan tidak mempunyai latar belakang jenayah.

“Jika pasport kami bukan yang terbaik, maka ia adalah antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Sementara itu, Hamzah memberitahu, kerajaan akan memastikan ciri-ciri keselamatan yang ada pada pasport antarabangsa Malaysia terpelihara daripada aspek peniruan daripada penjenayah.

Ini kerana segala ciri-ciri keselamatan pada pasport harus dikemaskini dari semasa ke semasa.

“Sebab itu hari ini saya nak melihat semula ciri-ciri keselamatan yang ada dengan pasport kita ini, maklum sahaja selepas dua tahun kita tidak menggunakan pasport ini, mungkin kerja penjenayah ini hanya kesan segala apa yang mereka nak tiru.

“Kita nak pastikan bahawa ciri-ciri keselamatan itu tidak ditiru oleh penjenayah yang mahu meniru pasport kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette