PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang guru wanita di Muar, kira-kira 130km dari sini awal pagi ini, yang disyaki mendera empat muridnya di sebuah tadika swasta baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Shahurinain Jais berkata wanita berusia lewat 50-an itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Muar kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata dua hari lepas salah seorang ibu kanak-kanak itu telah menerima rakaman video yang memaparkan kejadian anaknya didera oleh oleh guru berkenaan.

“Kejadian disyaki berlarutan sejak bulan November lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya wanita itu dipercayai bertindak kasar terhadap empat murid lelaki berusia lingkungan umur tiga hingga lima tahun, dan kesemua murid berkenaan telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk pemeriksaan perubatan.

Shahurinain berkata wanita itu direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA