Gambar Hiasan. Foto: Facebook

BANGKOK – Perbincangan terbaharu antara Kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) mencapai “kemajuan memberangsangkan” apabila kedua-dua pihak sepakat menghentikan keganasan sempena Ramadan.

Kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat dialog keamanan pusingan keempat yang diadakan di Kuala Lumpur dari 31 Mac hingga 1 April, disertai panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) yang diterajui Jeneral Wanlop Rugsanaoh manakala delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.

PEDP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak mencapai satu kesepakatan yang penting sekali gus akan mewujudkan keamanan berpanjangan di wilayah sempadan selatan Thailand.

“Kedua-dua pihak saling bersetuju mengenai “Peaceful Ramadan Initiative” untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif ketika Ramadan.

“Inisiatif itu bertujuan memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah mereka dengan selamat yang akan memupuk keyakinan masyarakat terhadap proses dialog damai yang inklusif,” menurut PEDP.

Aktiviti di bawah inisiatif itu akan dilaksanakan secara timbal balik oleh setiap pihak mengikut Prinsip Umum Proses Dialog Keamanan.

“Diharap ia akan menjadi langkah penting ke arah keamanan mampan di wilayah sempadan selatan Thailand,” menurut kenyataan itu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator dan turut melibatkan beberapa pakar sebagai pemerhati.

Sementara itu,  menurut BRN kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan keganasan sepanjang Ramadan bermula esok hingga 14 Mei (10 Syawal).

“Persetujuan ini adalah untuk melahirkan suasana aman dan sejahtera bagi komuti Pattani khususnya yang berada di lapangan dan sebagai proses mewujudkan keyakinan antara kedua-dua pihak dalam usaha mewujudkan perdamaian yang hakiki di Pattani,” menurut BRN.

Dalam perkembangan lain, PEDP berkata, kedua-dua pihak membincangkan kerangka kerja draf Kumpulan Kerja Bersama/Kumpulan Kajian Bersama yang akan ditubuhkan untuk menumpukan kepada tiga perkara substantif proses dialog damai iaitu: Pengurangan Keganasan, Perundingan Awam dan Penyelesaian Politik.

Selain itu, PEDP dan BRN menyokong “Prinsip Umum Proses Dialog Keamanan”, yang menggariskan perkara substantif yang akan dibincangkan kedua-dua pihak.

Kedua-dua pihak juga akan mendukung proses dialog damai yang bermaruah dan inklusif di samping berusaha mencari penyelesaian politik.

Sebelum ini, rundingan damai antara BRN dan Thailand diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan awal Mac 2020.

Bagaimanapun, rundingan bersemuka terhenti selama hampir dua tahun berikutan pandemik COVID-19. Namun, kedua-dua pihak telah mengadakan tiga mesyuarat secara maya sepanjang tempoh itu.

Mesyuarat rasmi dilihat memberi sinar baharu untuk menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla – wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Keganasan di selatan Thailand mula tercetus pada 2004 di empat wilayah dan sehingga kini sudah meragut lebih 7,000 nyawa. – Bernama