Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng dan Motosikal yang diadakan bermula 1 hingga 3 April 2022 oleh JSPT KL di ibu negara.-Ihsan foto JSPT KL

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur menyita 78 kenderaan kerana pelbagai kesalahan pada operasi yang dilakukan bermula jam 10 malam Jumaat hingga jam 4 pagi tadi yang dilakukan sekitar ibu kota.

Daripada jumlah itu sebanyak 53 buah motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos melalui Operasi Samseng Jalanan dan Op Motosikal di Jalan Pahang, Jalan Tun Razak , Jalan Kuching, Jalan T.A. Rahman, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Sebanyak 661 saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.

Selain itu 25 buah kereta telah disita pada Op Tutup yang menumpukan kenderaan yang parkir di kiri kanan Jalan Raja Laut dan membuat bising serta mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua kenderaan yang disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

Tambah beliau, kenderaan yang disita itu akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

Dalam operasi sama kata Sarifudin, polis turut melakukan tangkapan ke atas 22 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 67 tahun melakukan kesalahan di bawah Sek 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Antara kereta yang diperiksa dan disita polis dalam operasi mingguan Op Tutup bermula Jumaat sehingga awal pagi Ahad di ibu negara. -Ihsan JSPT KL

“Kesemua tangkapan yang memandu dalam keadaan mabuk itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama selain lima orang tempatan yang menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig – zag, roket, superman serta bersaing berjaya dicekup dalam Operasi Samseng Jalanan.

“Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Dua lagi lelaki tempatan berusia 22 tahun dan 25 tahun juga dicekup kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan,” ujar beliau.

Penunggang motosikal yang melakukan aksi merbahaya superman dan zig zag turut ditahanm semasa ops samseng JSPT KL di ibu negara sejak Jumaat lalu.Ihsan JSPT KL.

Sementara itu, Sarifudin memberitahu, seorang lelaki warga China di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Katanya, lelaki berumur 44 tahun itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi siasatan lanjut. – MalaysiaGazette