Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam untuk sama-sama memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, solat fardu, sunat Tarawih, qiamulail bersama keluarga sepanjang Ramadan yang bermula hari ini.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, selain amalan itu, umat Islam juga dianjurkan mengikuti majlis ilmu secara atas talian, membaca buku, berzikir, berdoa dan bersedekah.

“Pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, kita diberi peluang bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun ini.

“Marilah kita manfaatkan sebaik-baiknya bulan yang penuh keberkatan ini agar kelak kita menjadi orang yang benar-benar mendapat kemenangan.

“Sesungguhnya Ramadan ini mampu menjadi catatan terindah dalam lipatan diari peribadi dan ummah kerana memilih untuk merasai nikmat Ramadan dalam normal biasa ini,” katanya dalam perutusan sambutan Ramadan, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Ramadan adalah bulan penuh keberkatan yang dijanjikan Rasulullah menerusi hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, iaitu apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.

Menurutnya, bulan ini juga adalah bulan istimewa yang turunnya al-Quran dan ada padanya malam terbaik di antara seribu malam iaitu malam lailatul qadar.

“Kedatangan Ramadan kali ini juga memberi kesempatan kepada kita kembali menjalani ibadah puasa dengan situasi normal biasa.

“Alhamdulillah, inilah hikmah terbesar selepas dua tahun kita menyambut Ramadan dalam suasana pandemik Covid-19 iaitu norma baharu sebelum ini.

“Walaupun sudah beralih dari fasa pandemik ke endemik, namun kita perlu sentiasa berusaha dan mematuhi segala arahan SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast