Saksi yang merupakan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak pernah memberikan kelulusan kepada pengurusan syarikat itu untuk melaksanakan nota pinjaman Murabahah dalam usahasama dengan PetroSaudi International (PSI).

Ismee berkata, pengurusan 1MDB tidak pernah mendapatkan persetujuan untuk menukar pelaburan PSI mengikut Artikel 117 Perlembagaan Syarikat yang di anggaran bernilai AS$1.2 bilion.

Mengikut Artikel 117, setiap keputusan penting syarikat perlu mendapatkan arahan dan dan kelulusan Perdana Menteri.

Ketika di soal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Ismee berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak pernah memberitahu lembaga pengarah terdapat keperluan untuk mendapatkan persetujuan bekas Perdana Menteri itu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 APRIL 2022.

Shafee: Saya hendak tanya anda, adakah anda tengok sendiri sekiranya Najib ada mainkan peranan dalam beri kelulusan ini? Saya bertanya ini kerana ini sangat penting buat kami pembelaan.

Ismee: Dari dokumen yang anda tunjukkan kepada saya, rasanya tidak.

Untuk makluman, sebelum ini terdapat satu perjanjian 1MDB bersetuju menukar 40 peratus kepentingannya dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited dibelinya pada harga AS$1 bilion kepada pinjaman Islam untuk syarikat sama.

1MDB juga bersetuju menjual 40 peratus saham kepada syarikat usaha sama itu dengan memberikan pinjaman Islam melalui nota Murabahah kepada syarikat usaha sama itu.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu di atas kertas akan berhutang AS$1.2 bilion kepada 1MDB malah secara berkesan berjaya memberikan 1MDB keuntungan atas kertas AS$200 juta selepas mengambil kira permulaan AS$1 bilion.

Sebelum ini Muhammad Shafee pernah mendakwa penukaran kepada nota Murabahah bahawa pengurusan 1MDB melakukan pertunjukan silap mata, iaitu dana kekayaan negara akan mendapat AS$1.2 bilion dalam bentuk kertas bukan wang tunai sebenar.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 APRIL 2022.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette