Chef selebriti, Anis Nabilah.

KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Anis Nabilah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan Asean’s Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2020, baru-baru ini.

Anis atau nama sebenarnya, Anis Nabilah Umaruddin, 36, telah menceburi dalam bidang kulinari sejak 14 tahun lalu.

Dia berkata, pencapaian yang diraih hari ini adalah berkat usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa.

Katanya, dia berterima kasih kepada Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia kerana mempromosikan Malaysia ke mata dunia.

“Tahniah kepada semua atas kerja keras dan usaha mengembangkan industri kulinari untuk Malaysia. Ia memerlukan semangat, pengorbanan dan daya tahan untuk berjaya terutamanya ketika era pandemik.

“Saya hanya boleh membayangkan perjuangan yang dilalui sebahagian mereka, tetapi bukan sahaja terselamat daripada wabak Covid-19, malah mereka berusaha. Saya ‘salute’ kepada mereka.

Pada majlis itu, anugerah Asean’s Most Influential Chef disampaikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datuk N Subramaniam.

Mengimbas semula perjalanannya hingga berada pada tahap sekarang, Anis Nabilah berkata, segala-galanya berbeza pada awal pembabitannya.

“Semasa saya mula berada dalam industri, memasak di kaca televisyen (TV) iaitu lebih sedekad yang lalu semuanya berbeza.

“Tiada program realiti memasak, YouTube dan resipi Google. Saya masih ingat sebagai pelajar, cara belajar mengenai resipi lain dengan membaca buku masakan atau menonton rancangan masakan di kaca TV.

“Tetapi kini, saya melihat kanak-kanak mencipta kandungan masakan dalam media sosial. Maksudnya, betapa ia sesuatu yang menakjubkan.

“Semasa rancangan pertama saya disiarkan di kaca TV pada 2007, hanya segelintir membuat rancangan memasak. Dan saya adalah ‘anak kecil’ berbanding dengan legenda masakan yang ada seperti Chef Wan, Chef Ismail, Chef Florence dan ramai lagi,” katanya.

Anis berkata, dia pernah diberitahu terlalu muda untuk mengajar memasak.

“Saya akui, sukar untuk wanita berjaya dalam industri kulinari ini. Tetapi, saya tidak mengendahkan komen dan tetap teruskan kerana saya suka mengajar serta berkongsi resipi.

“Ia adalah minat saya. Saya terus memandang ke depan sehingga membawa saya sampai ke sini hari ini,” katanya.

Katanya, dia bangga apabila melihat industri kulinari yang diceburinya semakin berkembang dan diminati ramai.

“Saya sering ditanya wartawan, apakah pendapat saya mengenai orang yang bukan chef membuat kandungan memasak dan jawapan, saya bangga melihat betapa besarnya industri kulinari berkembang jika mahu dibandingkan ketika saya mula berada dalam bidang ini.

“Saya gembira dapat terus bertahan hingga hari ini kerana ia membuka begitu banyak pintu untuk saya.

“Saya berjaya menjelajah dunia untuk berkongsi resipi dan bertemu beberapa idola saya di beberapa acara masakan terbesar di dunia, seperti ‘Worlds 50 Best Restaurant’ dan ‘Invite The World to Dinner’ yang diadakan di Australia.

“Itulah kali pertama saya bertemu Heston Blumenthal iaitu salah seorang chef terkemuka dalam gastronomi molekul. Bukan sahaja dapat jumpa dengannya, tetapi bersembang, bertukar pendapat dan pengalaman dengannya,” katanya. – MalaysiaGazette