Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana melakukan penyelewengan terhadap barangan bersubsidi apabila mengisi bahan api jenis diesel ke dalam tangki simpanan lori dipandunya.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, lelaki terbabit ditahan dalam Ops Lipan yang dilakukan pihaknya pada 30 Mac lalu ketika membuat pemantauan berdasarkan aduan khas yang diterima di
sebuah stesen minyak di Jalan Pandamaran, Pelabuhan Klang.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi yang diadu, pasukan serbuan mendapati sebuah lori tangki sedang mengisi bahan api jenis diesel dan disyaki ia diisi ke dalam tangki simpanan yang ada di dalam lori tersebut.

“Terdapat situasi yang mencurigakan, pasukan serbuan telah menahan lori dan pemandu lori tersebut. Pemandu lori tersebut mengaku bertanggungjawab ke atas lori yang dipandunya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril berkata, pihaknya turut melakukan siasatan ke atas stesen minyak berkenaan serta telah mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 terhadap pengurus stesen minyak itu dan juga kepada syarikat pemborong minyak yang namanya tertera di pintu lori terlibat.

Pegurus stesen minyak telah diambil rakaman percakapannaya manakala, pemandu lori terbabit ditandakan sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) untuk disiasat di bawah perundangan AKB 1961, katanya.

Tambah beliau, sitaan telah dibuat ke atas beberapa perkara yang relevan untuk siasatan iaitu sebuah lori, bahan api jenis diesel, resit dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan anggaran nilai sitaan adalah
RM8,500.

Jelasnya, siasatan menjurus ke atas potensi kesalahan yang disyaki di bawah Peraturan 18 dan 21(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan, AKB 1961.

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika khsusnya melibatkan perlakuan mencurigakan melibatkan barangan bersubsidi mengemukakan aduan melalui saluran rasmi KPDNHEP. – MalaysiaGazette