Pasangan suami isteri Alfian dan Hannah melihat busana di Plaza Angsana antara lokasi tumpuan warga Singapura.

JOHOR BAHRU – Pusat beli belah Plaza Angsana di sini yang dahulu sepi tanpa pelanggan Singapura kini meriah kembali dengan kunjungan pelanggan dari negara jiran itu sejak pembukaan sempadan kedua-dua negara pada 1 Ahad lalu.

Tinjauan mendapati, kawasan parkir yang sebelum ini lengang sudah dipenuhi dengan kenderaan dan kebanyakan nombor pendaftaran Singapura.

Plaza Angsana sememangnya menjadi tumpuan warga berkenaan berbelanja turut disifatkan dengan jolokan ‘Port Orang Singapura.”

Warga Singapura, Muhd Alfian Abd Rahim, 34, merasakan seperti  bermimpi dapat berbelanja semula di Johor setelah dua tahun tidak dapat menjejakkan kaki ke Johor.

Pusat beli belah itu sememangnya menjadi pilihan utamanya dan keluarga sejak dahulu lagi memandangkan lokasinya di tengah-tengah pusat bandar raya.

Muhd Alfian bersama isteri Hannah Rahman, 30, dan tiga anak mula memasuki Johor Bahru pada hari pertama sempadan Malaysia dan Singapura dibuka untuk menziarahi keluarga di Johor Bahru.

“Saya tiba di Johor untuk bertemu ahli keluarga yang sudah dua tahun tidak berjumpa. Apabila masuk ke sini (Johor)  rasa macam kayangan, umpama mimpi dalam realiti.

“Saya juga rasa gembira dengan warga  Malaysia yang bekerja di Singapura. Saya tumpang gembira dengan pembukaan (sempadan) kedua-dua negara. Rindu sangat tempat ini (Angsana Johor Bahru Mall), tidak sangka dapat membeli belah lagi di sini.

“Saya rasa nanti sebelum raya Aidilfitri atau hujung minggu akan mula lebih meriah. Hari ini pun sudah ramai orang termasuk saya yang mahu membeli busana raya, ” katanya.

Juruteknik dari Kota Singa itu juga tidak sabar untuk merasa juadah hari raya terutamanya kuih raya, bangkit cheese yang menjadi pilihan utama beliau ketika membeli kuih raya di Plaza Angsana.

“Kalau ikut tekak saya rasa kuih di sini lebih sedap, saya teringin sangat nak makan kuih bangkit cheese dari Johor,” katanya.

Sementara itu, pengurus akaun,  Azhar Masril, 37, berkata, pusat beli belah ini adalah antara destinasi pertama yang ingin dikunjunginya bersama keluarga setelah menyeberangi sempadan malam tadi, lebih-lebih ketika sudah memasuki bulan Ramadan hari ini.

Azhar Masril tidak lepaskan peluang memasuki Johor untuk berbelanja apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka 1 April lalu.

Katanya berbelanja di sini memberi kepuasan buat keluarga dalam membuat persediaan awal untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah masih berpeluang bertemu keluarga di sini, merasa cukup bahagia bersama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadan bersama-sama.

“Perjalanan kami dari Singapura pada malam tadi juga berjalan lancar dan masih belum banyak kenderaan masuk ke Johor Bahru. Mungkin pada minggu hadapan laluan mula sibuk setelah cuti umum di Singapura.

“Di sana juga ada pusat beli belah yang menjual baju kurung dan baju Melayu namun tidaklah semeriah jika dibandingkan di sini. Lagi pun harga sini murah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengurus Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh berkata, pihaknya menjangka peningkatan 30 peratus kedatangan warga Singapura pada tahun ini.

Imran memberi cenderahati kepada pelanggan Singapura sebagai tanda terima kasih dan selamat datang selepas penutupan sempadan Malaysia-Singapura hampir dua tahun.

Jumlah itu berdasarkan pembukaan sempadan kedua negara sejak Jumaat lalu.

Sebelum ini jumlah kedatangan warga Singapura 50 peratus dari jumlah pengunjung setiap tahun terutama menjelang Ramadan.

Pelbagai pilihan tersedia termasuk 56 gerai bazar Ramadan, biskut raya, pakaian dan kedai sedia ada.- MalaysiaGazette