Rosmah Mansor pink diamond necklace
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Tanpa kehadiran Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi, Datin Rosmah Mansor masih dapat menimbulkan keraguan munasabah dalam kes rasuah dihadapinya ketika ini.

Menurut pembelaan dalam hujahan bertulisnya, Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri tidak dipanggil saat-saat akhir kerana kenyataan beliau hanya bersifat menyokong memandangkan kebanyakannya sudah dihujah oleh saksi lain.

Rosmah ketika ini sedang membela diri tiga pertuduhan rasuah projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Kata hujah bertulis itu kepada Mahkamah Tinggi, Najib sebelum ini telah dipanggil oleh pembelaan bagi memberikan keterangan saksi namun telah membatalkannya.

“Pada 10 Januari lalu, peguambela Datuk Jagjit Singh telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pembelaan memutuskan menyusun semula strategi selepas membincangkan merit memanggil Najib dan memilih tidak memanggil kerana buktinya hanyalah bersifat menyokong.

“Pasukan pembelaan yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata pihaknya tidak mempunyai isu dengan keputusan itu untuk tidak memanggil Najib kerana ia adalah prerogatif pembelaan berbuat demikian,” kata hujah bertulis itu.

Hujah bertulis itu telah dikemukakan pada 29 Mac lepas manakala hujahan lisan akan bermula esok dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada sebelah pagi.

Pada 18 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi di memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di Sarawak.

Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap isteri bekas perdana menteri itu.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu. -MalaysiaGazette