Gambar hiasan

MALAYSIA mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sebagai gabungan dalam pentadbiran negara. Sistem Demokrasi Berparlimen, berkehendakkan rakyat memilih wakil mereka setiap kali pilihan raya. Dewan Rakyat memerlukan 222 wakil manakala dewan undangan negeri (DUN) setiap negeri memerlukan jumlah wakil mengikut kerusi bagi setiap kawasan. Ini ialah sistem perwakilan yang telah digunapakai di negara ini sejak berdekad-dekad lamanya.

Tidak dinafikan Malaysia mengharungi detik gemilang melalui sistem ini dengan warna-warni politik dan kisah suka duka di sebaliknya. Namun begitu, sistem perwakilan ini tidak mungkin relevan selamanya berdasarkan perubahan arus zaman dan tuntutan politik semasa. Apabila usul Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi bila mana Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan yang bersetuju seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang, negara mula mempersoalkan keutamaan tugas seorang wakil rakyat. Baki 50 ahli Parlimen gagal hadir atas pelbagai sebab.

Ironinya, hadir ke persidangan Dewan Rakyat adalah tugas hakiki seorang ahli Parlimen. Jika ahli Parlimen tersebut dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, itu merupakan tugas hakikinya sebagai seorang ahli badan eksekutif. Namun bagi yang tiada lantikan dan urusan berkaitan, di manakah mereka tatkala tugas menanti?

Pemilihan wakil rakyat didominasi parti politik yang membawa agenda dan fahaman tersendiri dalam wadah perjuangan masing-masing. Terdapat parti politik yang sangat dominan dengan sejarah perjuangan yang hebat dan keahlian yang telah berakar umbi dalam masyarakat sejak sekian lama. Fenomena ini menuntut kepada kemunculan parti-parti politik baharu yang ingin mencuba nasib dalam membawa hala tuju berbeza dan perspektif baharu perjuangan demi membela nasib rakyat.

Calon-calon dari parti politik bertanding masing-masing mendakwa lebih berjiwa rakyat serta dianggotai barisan bakal pemimpin yang tidak mementingkan diri dan sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi memperjuangkan kebajikan rakyat dan negara. Persoalannya, apakah hanya wakil dari parti politik yang boleh menjadi pemimpin mewakili rakyat di peringkat persekutuan dan negeri? Apakah parti politik yang ada di negara ini sentiasa mengetengahkan calon wakil rakyat yang paling kompeten dan memenuhi tuntutan deskripsi tugas sebagai ahli Dewan Rakyat atau ahli DUN itu sendiri? Atau, berlaku salah tanggap yang semakin merumitkan sistem politik dan perwakilan di negara sehingga membuka kepada peluang salah guna kuasa, korupsi secara langsung atau tidak langsung dan persaingan merebut kuasa demi kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu semata-mata?

Ini adalah antara persoalan-persoalan yang menjentik minda generasi moden Malaysia hari ini supaya negara benar-benar diwakili pemimpin yang kompeten dan melaksanakan tugas sebenar di semua peringkat sistem pentadbiran kerajaan. Apakah tugas seorang ahli Dewan Rakyat dan ahli DUN yang sebenarnya? Pemilihan wakil rakyat ke Dewan Rakyat dan DUN sebenarnya untuk menjadi seorang penggubal undang-undang sama ada di peringkat persekutuan atau negeri. Mereka akan hadir ke mesyuarat yang ditetapkan dalam tempoh tempoh yang telah dijadualkan untuk membahas, membuat usul atau membangkitkan isu berkaitan dengan sesuatu akta ataupun enakmen yang bertujuan melengkapkan fungsi sebagai sebuah badan legislatif.

Maka, apakah kompetensi yang diperlukan oleh seorang wakil rakyat yang mahu berbahas dan mencadangkan sesuatu undang-undang? Apakah kita memerlukan seorang wakil rakyat yang sering turun padang, memberi sumbangan peribadi kepada rakyat dalam kesusahan dan melawat sehingga ke kawasan luar bandar semata-mata? Atau, kita memerlukan sosok pemimpin yang tinggi ilmu pengucapan awamnya dan boleh memberi idea-idea bernas untuk dibahaskan sebelum ia dirangka menjadi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh badan Judisiari serta menjadi panduan dalam pentadbiran negara oleh badan eksekutif?

Nyata sekali proses merejuvinasikan pemilihan wakil rakyat adalah satu keperluan. Kita sering mendengar luahan rakyat yang mahukan wakil rakyat mereka sering turun padang, kuat bekerja, memahami masalah dan kesusahan rakyat di kawasan. Situasi tersebut sekaligus memberikan peluang kepada calon dan parti politik, untuk meningkatkan ketampakan masing-masing sedangkan fungsi tersebut sepatutnya dimainkan oleh agensi kerajaan tempatan sedia ada dalam setiap kawasan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui majlis daerah atau majlis perbandaran dan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri sepatutnya memainkan peranan ini melalui ahli majlis yang dilantik.

Ahli majlis inilah yang sepatutnya “turun padang” dan mendengar masalah-masalah kebajikan rakyat dan isu luar bandar terutamanya, sesuai dengan fungsinya yang lebih dekat dengan masyarakat. Wakil rakyat di Dewan Rakyat dan DUN, sepatutnya menumpukan tenaga dan perhatian mereka terhadap fungsi memperkasakan badan legislatif. Sudah cukup keistimewaan, kekebalan dan insentif diberikan kepada wakil rakyat dalam menjalankan tugas tersebut. Tidak salah untuk mereka ini, sesekali turun ke kawasan untuk bersama ahli majlis dan agensi di bawah PBT bagi mendengar masalah rakyat. Tetapi kedua-dua pihak, wakil rakyat dan rakyat yang diwakili harus tahu perbezaan fungsi mereka supaya masing-masing tidak terbeban.

Wakil rakyat tidak akan terbeban dengan masa yang tidak habis-habis untuk melawat kawasan dan beban kewangan jika perlu mengeluarkan peruntukan peribadi bagi tujuan bantuan. Rakyat juga tidak terbeban dengan terlalu meletakkan harapan kepada
wakil rakyat kawasan mereka dalam menyelesaikan isu dan masalah tempatan, sedangkan ada ahli majlis yang dilantik di kawasan dengan fungsi sedia ada agensi kerajaan dan penjawat awam yang boleh digerakkan untuk manfaat rakyat. Sekiranya hubungan timbal balik yang dinamik ini difahami semua pihak, jentera kerajaan akan berfungsi dengan aktif dan berkesan. Ia sekaligus menutup ruang untuk wakil rakyat terdedah kepada salah tanggap kononnya tidak melakukan kerja apabila tidak dilihat turun ke kawasan terutama bila berlaku bencana, kematian penduduk tempatan atau isu-isu setempat seperti longkang tersumbat, jalan berlubang atau ancaman lain.

Mungkin sudah sampai masanya rakyat membuat pilihan bijak sebagai pengundi mulai PRU15 nanti. Pilihlah wakil rakyat yang menjalankan fungsi berdasarkan deskripsi tugas samada di Dewan Rakyat atau DUN, dan sekaligus mendesak transformasi PBT dalam memperkasakan fungsi ahli majlis di setiap daerah, dengan tumpuan khusus di kawasan luar bandar. Negara memerlukan transformasi menyeluruh dalam sistem perwakilan bagi memastikan calon yang benar-benar layak diangkat pada pilihanraya. Calon yang kompeten tidak semestinya datang dari parti politik semata-mata tetapi boleh juga dikenal pasti dari kalangan individu berbakat, pemimpin masyarakat atau pesara-pesara pegawai kerajaan yang berpengalaman.

Senario ini mungkin tidak disenangi oleh segelintir pemain politik semasa, khususnya blok yang bertanding dalam sistem multi-parti. Ia juga akan menyebabkan Sistem Demokrasi Berparlimen dalam menentukan kumpulan majoriti untuk membentuk kerajaan sedikit terganggu dek kerana kepelbagaian wakil rakyat yang dipilih bukan dari calon parti politik. Namun perubahan adalah perlu bagi penambahbaikan dan memastikan sistem politik dan pentadbiran yang kalis masa hadapan dapat direalisasikan.

Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad, Timbalan Pendaftar Kanan Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM merangkap Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)

Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad
Timbalan Pendaftar Kanan
Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM
merangkap Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)