Tun Dr Mahathir Mohamad Parti Pejuang Tanah Air
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa dirinya akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat.

Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab beliau akan disiasat.

“Ya. Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini satu tekanan yang menakutkan. Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay,” katanya.

Bagaimanapun seperti hantarannya sebelum ini, nama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak terus diratibnya.

Mahathir menyatakan kehairanannya kerana rakyat Malaysia tidak marah terhadap Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Pengerusi Pejuang itu, kedua-dua mereka adalah antara  yang disebut berkali-kali sebagai terlibat dengan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Laporan-laporan ini boleh dibaca dalam akhbar Malaysia. Tetapi yang peliknya ramai orang Malaysia tidak sedikit pun marah terhadap Najib dan Rosmah, jauh sekali merasa malu.

“Di Pilihan Raya Negeri Johor parti Najib di sokong sehingga menang dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Dalam satu rakaman video perdana menteri ditolak ke belakang oleh Presiden UMNO, yang tarik Najib ke depan di tempat perdana menteri. Dari peristiwa ini adalah jelas Najib lebih dihormati oleh UMNO daripada Perdana Menteri,” kata Mahathir.

Dalam hantarannya itu, Mahathir melemparkan dakwaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan kekal sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, individu yang menjadi penyokong kuat Najib akan dipilih sebagai perdana menteri baharu.

“Ramai ahli UMNO hendak supaya PRU-15 diadakan segera. Apakah Ismail Sabri akan jadi Perdana Menteri jika UMNO menang. Tentu tidak.

“Yang akan jadi PM tentulah penyokong kuat Najib. Bagi kerajaan yang akan didirikan, yang utama ialah membebas Najib dari hukuman 12 tahun penjara,” kata Mahathir.-MalaysiaGazette