Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO yang masih mempertahankan kerjasama dengan Bersatu diminta menilai tindak tanduk terkini presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang mahu menjadi perdana menteri (PM) semula.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak seperti Bersatu yang kelihatan terdesak hingga  sanggup menjual prinsip demi untuk berkuasa.

“Kepada mana-mana pihak dalam UMNO yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu, mereka harus menilai sendiri segala tindak tanduk politik dan tabiat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang begitu terdesak mahu kembali jadi PM.

“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?

“UMNO ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendedahkan dalam perjumpaannya dengan Muhyiddin baru-baru ini, Pengerusi PN itu memohon sokongan untuk kembali menjadi PM.

Menurut Ahmad Zahid, pertemuan tersebut telah membongkar niat sebenar Muhyiddin yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pejuang dan parti-parti lain yang menentang UMNO dan Barisan Nasional.

Selain Dr. Mahathir media turut melaporkan Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghubungi Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi.  Presiden Bersatu juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan presiden PKR  baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut.

“Begitu juga Shafei Apdal mengakui beliau dihubungi oleh Pengerusi PN yang dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum pada masa akan datang.

“Namun Shafei dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam PH,” kata Ahmad Zahid.

Jumaat lalu, Mahathir memberitahu, Muhyiddin menemuinya untuk meminta bantuan mendapatkan semula jawatan perdana menteri.

Sementara Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, pertemuan tersebut merupakan salah satu strategi bagi memastikan apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan maslahat yang lebih besar.- MalaysiaGazette