Daun Mitragynine (ketum). Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

SUNGAI PETANI – Polis menahan dua lelaki serta merampas 950 kilogram daun ketum bernilai RM14,250 di Taman Batik, di sini, pada Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Anuar Abdul Rahman@Abdul Rahim berkata, suspek berumur 30 dan 41 tahun itu ditahan di dalam lori yang dalam keadaan mencurigakan ketika polis sedang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Pemeriksaan lanjut di dalam lori itu menemukan 95 bungkusan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum yang dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini, hari ini.

Anuar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua supek yang merupakan kenalan itu dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran daun ketum sejak sebulan lepas dengan berperanan sebagai ‘runner’ atau penghantar barangan.

“Pengedaran daun ketum ini dipercayai didalangi lelaki warganegara Thailand dan mereka ini menerima upah sebanyak RM1,000 untuk menghantar bekalan daun ketum dari kawasan Pendang ke Changlun.

“Kita tahan mereka di kawasan Taman Batik, sewaktu dalam perjalanan pulang selepas gagal membuat penghantaran bekalan ke Changlun,” katanya yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, bekalan daun ketum yang dirampas itu mampu digunakan sehingga 23,750 individu yang menyalahgunakan daun berkenaan.

Dalam pada itu, Anuar berkata, seramai 16 warga Indonesia termasuk seorang wanita berumur antara 35 hingga 60 tahun yang leka bermain judi dadu serta judi bola gelek dan sabung ayam ditahan polis dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Tok Pawang di Bedong dekat sini, Jumaat lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.45 petang itu, polis turut menahan empat lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 60 tahun yang disyaki penganjur kepada kegiatan perjudian tersebut.

“Kita merampas pelbagai peralatan perjudian, 26 ekor ayam sabung yang digunakan bagi pertaruhan dan wang tunai berjumlah RM9,434.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Peraturan 11(2) dan Seksyen 31 Akta Pencegahan dan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast