E Sundra Rajan

MELAKA – Seorang guru wanita kerugian RM42,000 selepas menjadi mangsa terbaharu sindiket ‘love scam’, di sini, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, kejadian bermula selepas guru berusia 27 tahun itu berkenalan dengan suspek dikenali Albert A Adams menerusi Facebook pada 3 Mac lalu.

Menurutnya, hubungan mereka kemudian semakin rapat dan beralih ke Whatsapp sebelum suspek memberitahu ingin memberikan hadiah kepada mangsa sebagai tanda perkenalan.

“Hadiah yang dijanjikan adalah kasut jenama Dior, Ipad Pro, kasut Adidas, barangan kemas, pakaian dan wang tunai berjumlah AS$3,000 bersamaan RM12,631.50.

“Pada 29 Mac, suspek memberitahu semua barangan tersebut telah dihantar ke alamat rumah mangsa dan mangsa turut mengesahkan terdapat kiriman barang yang tiba di Kuala Lumpur setelah membuat semakan melalui website Fast Exsprees Shipping.

“Bagaimanapun, barangan-barangan tersebut kononnya dikatakan telah ditahan oleh pihak Kastam KL Transit kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudiannya telah diminta oleh suspek untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan tersebut sebelum mangsa yang percaya telah membuat bayaran secara berperingkat sejak 30 Mac sehingga 1 April keseluruhan berjumlah RM42,000.

Antara alasan bayaran adalah bagi pengesahan sijil barangan, peguam, barangan kemas, pengesahan alamat penghantaran, tambahan barangan dan caj kelewatan pembayaran.

“Namun sehingga kini barangan tersebut masih tidak diterima mangsa seperti yang dijanjikan malah suspek masih meminta mangsa membuat bayaran RM5,000 tetapi tidak diturutinya kerana menyedari telah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Sabtu lalu di Balai Polis Melaka Tengah dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Orang ramai dinasihati berhati-hati dalám mencari kenalan mēlalui laman sosial dan sentiasa menyemak nombor telefon dan akaun bank melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette